Fri11242017

LAST_UPDATEFri, 24 Nov 2017 8am

Jadi Bilal di Arafah Pengalaman Paling Bermakna

Kredit foto Instagram Nassier WahabKredit foto Instagram Nassier Wahab

Pengalaman menunaikan haji di tanah suci Mekah baru-baru ini cukup bermakna buat penyanyi terkenal Datuk Nassier Wahab, 55, kerana bukan saja dapat menunaikan ibadahnya dengan sempurna malah ada satu kenangan yang tidak dilupakan beliau.

Memetik laporan mStar online, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Memori Cinta Luka ini apabila ada jemaah haji Malaysia yang menitiskan air mata ketika mendengarnya melaungkan azan.

"Mungkin selama ini mereka dengar suara saya menyanyi tapi pada hari kejadian mereka berpeluang mendengar saya melaungkan azan menyeru kebesaran Allah.

"Hati saya tersentuh apabila melihat ada jemaah yang menangis terharu dan sebak kerana mendengar saya melaungkan azan," katanya.

Peristiwa itu berlaku ketika dia menjadi bilal semasa khutbah Arafah ketika mengerjakan ibadah wukuf di Padang Arafah.

"Bayangkan saya tak pernah laungkan azan di hadapan orang ramai dan itu kali pertama diberi tanggungjawab melakukannya.

"Apabila mutawif tawarkan peluang ini, saya tak boleh menolak sebab mereka bersungguh-sungguh mahu saya yang azan.

"Saya yakinkan diri dan anggap itu rezeki yang tak semua orang dapat," katanya.

Nassier bertolak ke tanah suci mengerjakan ibadah haji pada 26 Ogos dan pulang ke Malaysia pada 30 September lalu.