Thu11232017

LAST_UPDATEThu, 23 Nov 2017 7pm

Belum Sedia Tinggalkan Kerjaya di Malaysia

..

Setelah setahun mendirikan rumah tangga dengan aktres kelahiran Indonesia Prisia Nasution, pelakon Iedil Putra mengaku dia kini sudah biasa berulang alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur bagi memenuhi tuntutan kerjaya seninya di sini.

Menurut Iedil atau nama sebenarnya Tengku Iedilzuhrie Putra bin Tengku Alaudin, 32, dia tidak mempunyai masalah dengan rutin tersebut memandangkan tempoh penerbangan tidak terlalu lama. Lagipun ketika di fasa menjalinkan hubungan cinta dengan isterinya kira-kira setahun yang lalu, dia juga sering berulang alik ke negara republik itu.

"Saya tidak mempunyai masalah malah sudah biasa berulang alik KL-Jakarta. Sejak bercinta dulu pun saya kerap juga saya ke sana.

"Jadi sekarang apabila sudah berkahwin, kalau hendak dikira sudah masuk dua tahun lah saya berulang alik lagipun tempoh penerbangan pun tidaklah terlalu lama," katanya ketika ditemui pada sidang media teater muzikal Ola Bola bertempat di Matic, semalam.

Sejak menetap di Seberang, Iedil bersyukur kerana menerima beberapa tawaran berlakon. Sekaligus menganggap kehadirannya dalam industri lakonan di sana disambut baik oleh produksi dan netizen. Malah sebagai memenuhi tuntutan kerjayanya di sana, dia mempelajari dan kini dalam proses memperbaiki pertuturannya dalam bahasa Indonesia.

"Alhamdulillah, saya dapat beberapa tawaran berlakon di sana seperti filem televisyen (FTV), teater dan drama bersiri. Antara FTV lakonan saya bertajuk 25 Juta Menuju Cintamu yang kini sedang ditayangkan. Buat pertama kali juga saya berlakon bersama isteri untuk siaran drama di Indonsia. Sebelum ini saya dan Prisia belakon dalam filem Interchange, arahan Dain Said.

"Tawaran di sana rata-ratanya menuntut saya bertutur dalam bahasa Indonesia, jadi sekarang saya belajar dan dalam proses memperbaiki bahasa Indonesia atas bantuan dan tunjuk ajar isteri.

"Peminat juga ada yang mula mengenali saya dan kalau saya keluar berjalan-jalan ada yang menegur dan mereka mahu bergambar. Mereka panggil saya dengan gelaran "bang Iedil"," ceritanya.

Walaupun sudah mempunyai kehidupan dan karier di Indonesia, bintang filem Terbaik Dari Langit ini berkata dia tetap tidak melepaskan peluang sekiranya ada tawaran dan rezeki lakonan di sini. Katanya, sebagai anak seni tempatan, banyak lagi misi dan impian yang mahu dicapainya serta menyahut cabaran ndustri lakonan tanah air.

"Walaupun rezeki saya di sana tidak putus-putus namun tidak bermakna saya sudah meninggalkan kerjaya di sini. Kalau ada tawaran yang bagus, saya sedia menerima.

"Saya belum terfikir untuk memberi fokus 100 peratus terhadap kerjaya saya di sana kerana banyak lagi cabaran, tanggungjawab dan pengalaman yang mahu saya lakukan sebagai pelakon sekaligus membuktikan sesuatu yang boleh membanggakan industri lakonan Malaysia," tuturnya.

Sementara mengulas mengenai penglibatannya dalam pementasan Ola Bola, Iedil menyifatkan ia satu peluang keemasan.

Malah dia teruja kerana dapat bekerja di bawah produski Enfiniti ditambah pula teater tersebut merupakan arahan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina.

Barisan pelakon Teater Muzikal Ola Bola.Barisan pelakon Teater Muzikal Ola Bola.

"Agak lama industri teater kita tidak dihidangkan dengan sebuah teater yang gah dan nasakh ini adalah satu karya yang memberi inspirasi kepada masyarakat. Jadi saya anggap penglibatan saya ini juga sebagai 'call of duty'.

"Saya teruja dapat menjadi sebahagian daripada pementasan teater ini," ujarnya yang akan menghidupkan watak Rahman.

Teater muzikal Ola Bola bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya mulai 8 Februari 2018. 

Perkembangan lain, Iedil kini menantikan beberapa tayangan filem lakonannya seperti filem Mak, One, Two Jaga yang bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi. Selain itu dia turut menjayakan filem bertajuk Motif dan akan membintangi drama bersiri Mandatori.

..

Berkongsi serba sedikit mengenai kehidupan peribadi, Iedil berkata, meskipun mereka suami isteri sangat sibuk dengn komitmen kerjaya masing-masing namun mereka saling memahami. Tidak tertekan mengenai soal cahaya mata, Iedil dan Prisia menyerahkan perkara itu kepada Tuhan.

"Saya sibuk, dia (isteri) juga sangat sibuk dengan penggambaran. Tetapi kami saling memahami. Misalnya jika saya tiada apa-apa pengambaran, saya akan datang ke tempat kerja atau ke set penggambarannya untuk meluangkan masa bersama. Begitu juga dengan dia, akan datang ke set penggambaran saya jika dia ada kelapangan.

"Kami tidak merancang apa-apa tetapi andai dikurniakan rezeki (cahaya mata), kami bersyukur. Buat masa ini kami berdua bekerja keras untuk persediaan masa depan dan kalau nanti kami sudah mempunyai anak, saya dan isteri mahu berikan yang terbaik untuk zuriat kami," tuturnya.