Mon11202017

LAST_UPDATESun, 19 Nov 2017 10pm

"Bodoh Kalau Saya Tolak" - Rosyam Nor

..

Pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor memberitahu beliau tidak teragak-agak memberi persetujuan saat ditawarkan membintangi filem biografi jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei bertajuk Lee Chong Wei yang bakal ditayangkan pada tahun depan.

Menurut Rosyam, selama 35 tahun bergelar anak seni, tawaran sebegitu dianggap satu peluang keemasan yang tidak mungkin dilepaskan begitu saja.

Selain ianya sebuah karya memberi inspirasi kepada bukan saja rakyat Malaysia malah dunia, Rosyam turut menyifatkan filem itu sebagai satu naskah yang akan menjadi arkib negara yang akan kekal selamanya.

"Filem ini bukan hanya tentang badminton tetapi ia sebuah karya yang menyuntik inspirasi dan motivasi kepada masyarakat di Malaysia malah seluruh dunia.

"Ia mengenai sillaturahim individu yang meskipun berbeza agama dan bangsa. Seorang yang bernama Misbun mencurahkan segalanya kepada seorang budak bernama Lee Chong Wei sehingga menjadikan beliau pemain nombor satu dunia. Filem ini tentang bagaimana manusia menghormati dan manusia yang memberi.

"Ini karya tentang biografi dan bukan filem fiksyen dan ia akan jadi satu sejarah sampai bila-bila. Ia akan jadi bahan arkib yang kekal. Jadi apabila pihak produksi menawarkan kepada saya, saya rasa bodoh jika saya menolak berlakon dalam filem ini," katanya pada sidang media filem tersebut, bertempat di hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, semalam.

Datuk Wira Lee Chong Wei (lima dari kanan) bersama pengarah dan barisan pelakon filem Lee Chong Wei.Datuk Wira Lee Chong Wei (lima dari kanan) bersama pengarah dan barisan pelakon filem Lee Chong Wei.

Tambah berbangga apabila beliau diberi kepercayaan menghidupkan watak lagenda juga jurulatih tersohor arena badminton, Datuk Misbun Sidek.

Meskipun tidak berpeluang bertemu sendiri dengan Misbun untuk mengenalinya lebih dekat sebelum penggambaran namun Rosyam mengambil inisiatif membuat kajian sendiri mengenai Misbun menerusi internet.

Katanya lagi, dia tidak menghadapi banyak masalah sepanjang menjiwai karakter Misbun kerana dia memang sangat mengagumi lagenda itu sejak dari kecil lagi.

"Saya tidak berpeluang berjumpa dengan beliau kerana beliau sibuk dengan temasya Olimpik yang lalu. Namun saya ada menghantar mesej menerusi WhatsApp memberitahu saya akan melakonkan watak sebagai beliau dalam filem ini. Saya anggap ia satu cabaran untuk saya mengintepretasikan seorang Misbun dari kaca mata sendiri.

"Saya membuat kajian menerusi internet tentang karakter dirinya selain berbincang dan mendapatkan bantuan daripada pengarah dan produksi. Tidaklah sukar sangat untuk membawakan watak Misbun Saya membesar di zaman beliau. Sejak kecil saya mengagumi beliau dan sering mengikuti perkembangan serta kejayaan beliau.

"Saya berharap peminat dan Misbun akan setuju dengan apa yang saya intepretasikan menerusi lakonan saya. Saya tidak takut tentang kritikan penonton tetapi yang penting saya telah keluarkan emosi dan berharap penonton dapat merasainya," tuturnya.

LCW bersama dua pelakon baharu, Jake Eng (melakonkan watak usia kanak-kanakl) dan Tosh Chan (melakonkan watak usia remaja).LCW bersama dua pelakon baharu, Jake Eng (melakonkan watak usia kanak-kanakl) dan Tosh Chan (melakonkan watak usia remaja).

Filem LCW arahan sutradara Teng Bee ini mengambil masa selama tiga tahun di peringkat pre-produksi dan menjalani penggambaran selama 50 hari sekitar Jun hingga Julai lalu.

Dalam pada itu, Rosyam juga berharap menerusi LCW, dia dapat memperkenalkan dirinya kepada para peminat berbangsa Cina sekaligus mencari ruang menapak nama dalam industri filem Mandarin bikinan produksi tempatan pada masa akan datang.

"Sebelum ini say diberi peluang membintangi filem Kabali. Walaupun ada yang mempertikaikan kerana babak saya sedikit tetapi saya anggap ia sebagai satu peluang untuk saya perkenalkan diri dikalangan masyarakat India di negara ini juga di negara India.

"Begitu juga saya berharap menerusi filem LCW saya akan mendapat tempat di hati masyarakat Cina di Malaysia dan mungkin saya boleh mendapat peluang berlakon dalam filem Mandarin terbitan produksi tempatan, " katanya.