Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 9am

Aiman Tino Keluarkan Baju Uniform Sekolah

 ..

Penyanyi sensasi, Aiman Tino meluaskan lagi empayar perniagaan yang baru diceburi dengan melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai artis pertama mengeluarkan produk baju uniform sekolah.

Produk di bawah jenama Sweet Aiman Junior itu merupakan kerjasama strategik antara Sweet Aiman dan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetics Sdn. Bhd. (Wonder Glow).

Sebelum ini, anak muda yang sukses mencipta nama menerusi lagu Ku Rela Dibenci ini mengeluarkan tiga produk kesihatan dan kecantikan daripada Aiman Tino iaitu 3D Cream DD mineral Cushion, Candy Cherry Brite dan Cherry Brite HD pada Mac lalu.

Penyanyi berusia 19 tahun itu juga turut memperkenalkan kurta yang dikenali Qurta by Sweet Aiman Fashion pada Ramadan lalu.

Menurut Aiman, dia menyahut cabaran Wonder Glow itu mengambil langkah berani untuk mempelbagaikan bidang perniagaan kerana mahu merealisasikan impiannya menjadi usahawan muda berjaya.

Jelas Aiman, sikap kreatif dan berani meneroka pasaran baharu perlu ada dalam diri usahawan bumiputera di negeri ini.

"Langkah Aiman mempelbagaikan bidang agar sebagai usahawan muda, Aiman perlu lebih kompeten dan berdaya saing dalam meningkatkan dan menambahkan keupayaan dan pendapatan.

"Bidang keusahawanan merupakan bidang yang luas untuk diterokai dan mampu menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi tetapi usahawan perlu inovatif dalam meminimumkan risiko dan meluaskan potensi produk.

"Aiman juga perlu meneroka bidang keusahawan baru, kaedah pembungkusan produk, perkhidmatan terkini, strategi pemasaran dan pasaran baharu termasuk menggunakan media sosial," kata anak keempat daripada 10 beradik itu.

Lebih istimewa, pelancaran Sweet Aiman Junior itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Yang Berhormat, Dato' P.Kamalanathan A/L P.Panchanathan bertempat di bekas sekolah Aiman iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah, pada Jumaat (hari ini).

..

“Sudah tentu Aiman merasakan hari ini adalah paling istimewa dalam hidup Aiman kerana dapat melancarkan produk uniform sekolah di bekas sekolah Aiman,” katanya.

Produk uniform Sweet Aiman Junior merangkumi baju, seluar dan baju kurung sudah berada di lapan Pasaraya Beli-Belah, Mydin sejak 14 November lalu.

Pengeluaran pertama sebanyak 16,000 helai uniform dikeluarkan dengan sebanyak 2,000 helai diperuntukan bagi setiap Mydin itu. Produk uniform Sweet Aiman Junior dijual pada harga serendah RM21.

Sempena pengenalan produk itu, Aiman juga akan mengadakan jelajah mempromosi Sweet Aiman di lapan Mydin terpilih dan peminat-peminat berpeluang untuk berjumpa beramah mesra bersama Aiman dan mendapatkan produk-produknya.

Lapan rangkaian pasaraya Mydin terpilih seluruh negara seperti berikut dan tarikh serta waktu promosi akan dimaklumkan kemudian.

1. Pasar Raya Besar Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor

2. Pasar Raya Besar Mydin MiTC, Ayer Keroh, Melaka

3. Pasar Raya Besar Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang

4. Pasar Raya Besar Mydin Kubang Kerian, Kelantan

5. Pasar Raya Besar Mydin Pelangi Indah, Ulu Tiram, Johor

6. Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya, Ipoh, Perak

7. Pasar Raya Besar Mydin Gong Badak, Terengganu

8. Emporium Mydin Sinar Kota,Kuala Lumpur