Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 9am

Idris Khan Jawab Tuduhan Hamilkan Gadis 20-an

..

Menerusi laporan BH online, aktor Idris Khan menepis khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan gosip aktor popular didakwa menghamilkan bekas kekasih seperti yang tersebar sejak minggu lalu.

 

Tegas pelakon drama Duda Terlajak Laris ini, jika benar dia lelaki yang dimaksudkan itu, tentu saja rancangan perkahwinannya dengan pilihan hati, Sanaa Jeljalane, pada 20 Januari 2018 berdepan masalah.

Malah, Idris mengaku tidak sabar untuk mengetahui identiti pelakon dimaksudkan, sekali gus dapat merungkai spekulasi ramai.

"Siapa agaknya yang dimaksudkan itu? Saya pun nak tahu juga. Rasanya kalau betul aktor itu diri saya, memang sahih saya dan bakal isteri tidak jadi berkahwin.

"Apa pun, kami rancak mengatur persiapan pernikahan awal tahun depan. Kami pada awalnya merancang untuk mengadakannya tahun ini, tetapi disebabkan si dia berasal dari Maghribi, urusan dokumentasi agak renyah," katanya.

Menerusi laporan sebuah portal pada minggu lalu menyebut, seorang wanita berusia 20-an mendedahkan bekas kekasihnya yang juga pelakon melarikan diri selepas wanita itu mengakui hamil tiga bulan.

Wanita terbabit turut mendedahkan lelaki berkenaan enggan bertanggungjawab, malah sering mengelakkan diri daripada bertemunya untuk berbincang mengenai tanggungan kewangan ke atas bayi terbabit.

Sebaik saja berita itu tersebar, netizen mula membuat tekaan mengenai identiti aktor dimaksudkan, hingga mengaitkannya dengan beberapa nama termasuk Idris.

Pada masa sama, Idris yang tidak terkesan dengan khabar berkenaan mengakui lebih berdebar menunggu kehadiran bakal mentuanya ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat.