Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 9am

Amir (Ukays) Kecewa Lagunya Dianggap Tidak Mampu Hit

..

Bekas vokalis kumpulan Ukays, Amir, meluahkan rasa kecewa beliau mengenai sikap segelintir pihak yang pilih kasih antara golongan artis baharu dan lama.

Memetik laporan Kosmo! Amir berkata, tambah mengecewakan apabila single baharunya bertajuk Kasih Tak Terlihat yang dihasilkan lima tahun lalu tidak berkumandang di corong radio sehingga ke hari ini dengan alasan tidak mampu menandingi lagu hit terdahulu.

"Sejujurnya saya telah melancarkan sebuah single baharu ciptaan Saari Amri bertajuk Kasih Tak Terlihat lima tahun lalu, namun ia tidak diketahui umum kerana pihak stesen radio enggan memutarkan di radio. Pastinya sebagai penyanyi saya berasa kecewa.

"Pelbagai alasan diberikan dan antaranya mengatakan single tersebut tidak mampu menandingi lagu hit terdahulu. Saya tidak mengatakan kesemua stesen radio kerana ia hanya melibatkan segelintir pihak sahaja. Seharusnya pihak stesen radio perlu memainkan peranan mereka dengan mempromosikan lagu artis kepada peminat.

Mengenai perkembangan terbaharu, bekas peserta program realiti Gegar Vaganza musim kedua bakal diadakan pada 1 Disember depan di D’Saji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pada showcase itu Amir akan mendendangkan sebanyak 12 buah lagu, persembahan tersebut dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam selain menyaksikan kemunculan istimewa komposer Saari Amri yang turut menyanyikan sebuah lagu duet bersama Amir.

Tiket dijual bermula pada harga RM100 hingga RM300 dan boleh didapati secara online di laman MyTicket.Asia.