Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 9am

Protes Mahu Bakar Aktres Hidup-Hidup

..

New Delhi: Akibat kontroversi filem ‘Padmavati’ - mengenai ratu Rajput legenda dibintangi pelakon Bollywood Deepika Padukone - satu kumpulan pelampau mengumumkan menawarkan ganjaran 10 juta rupee (RM640,000) untuk sesiapa yang sanggup ‘membakar aktres itu hidup-hidup.’

Anggota Akhil Bhartiya Kshatriya Mahasabha (ABKM) yang dibentuk untuk mempromosikan kepentingan institusi sosial masyarakat India, membakar ratusan patung pengarah dan pelakon berkenaan yang yang memainkan watak ratu Padmavati pada hujung minggu lalu kerana tidak berpuas hati dengan gambaran diberikan filem berkenaan mengenai pemimpin legenda berkenaan.

Kumpulan berkenaan turut berarak ke pejabat pentadbiran dan menghantar memorandum kepada majistret daerah menuntut menyekat pengeluaran filem itu.

Pemimpin sayap pemuda ABKM, Bhuvneshwar Singh berkata: “Deepika patut tahu bagaimana rasanya dibakar hidup-hidup. Dia tidak pernah tahu pengorbanan ratu itu. Sesiapa yang membakarnya hidup-hidup akan diberikan 10 juta rupee.

“Kami menuntut supaya dibenarkan menonton filem itu sebelum ia disiarkan.”

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis, Rohit Singh Sahjawan berkata, aduan sudah dibuat mengenai perkara itu dan pihaknya kini menyiasat.

Filem berkenaan berdepan bantahan susulan khabar angin bahawa fakta sejarah mengenai filem itu diubah suai.

Awal tahun ini, pengarah filem berkenaan Sanjay Leela Bhansali diserang anggota kumpulan pelampau Rajput, Karni Sena di Jaipur, malah set penggambaran di bandar itu dan Kolhapur turut dirosakkan.

Berikutan kontroversi itu, golongan seni lain turut menyatakan sokongan terhadap Bhansali dan pasukannya dengan kebanyakan artis terkenal lain menyifatkan kejadian sebagai serangan terhadap kebebasan untuk berkarya.