Sat04212018

LAST_UPDATESat, 21 Apr 2018 3pm

Dihina Netizen, Elyana Balas Dengan Ucapan Terima Kasih

..

Biarpun kecewa dan sedih dengan sikap segelintir pengguna media yang melemparkan hinaan selepas dia mengumumkan dirinya penghidap kanser limfoma tahap empat, namun penyanyi Elyana punyai cara tersendiri berdepan kritikan tersebut.

Menerusi laman Instagram miliknya, Elyana membalas dengan menulis luahan hatinya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkenaan.

"Terima kasih kerana menghina wanita ini. Terima kasih kerana mendoakan saya cepat mati. Terima kasih juga yang mengambil kesempatan menuduh saya inginkan perhatian.

"Terima kasih juga yang menuduh tanpa bertanya cerita sebenar dan kata saya bercakap bohong pasal sakit ini.

"Terima kasih juga untuk anda yang gembira apabila saya sering dimalukan di khalayak ramai. Terima kasih semua. Tak apalah... Mungkin anda belum lagi berasa apa yang saya rasai selama ini," tulisnya sambil disertakan sekeping gambar dirinya menjalani rawatan kemoterapi pada bulan Ramadan lalu.

Pada bahagian akhir luahan berkenaan, pelantun lagu Bukannya Satelit itu turut menegaskan bahawa dia merupakan pesakit kanser tahap empat seperti yang diumumkan ketika tersingkir di minggu kelima konsert Gegar Vaganza musim keempat.