Wed01242018

LAST_UPDATEWed, 24 Jan 2018 9am

Aishah Terima Habuan RM RM100,000, Sebidang Tanah

Kredit foto BH online.Kredit foto BH online.

Menepati ramalan ramai, penyanyi Aishah berjaya meraih gelaran juara pada pentas akhir Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) di Pinewood Studio, malam tadi.

 

Lapor BH online, Aishah yang menyampaikan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion sebagai lagu tugasan solo dan Supergirls untuk segmen battle berjaya mengetepikan saingan seperti Liza Hanim, Hazami, Tia Jinbara, Firman dan Lan Solo.

Penyanyi Janji Manismu ini turut memenangi Anugerah Gelora Vida Vaganza.

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.

Naib juara pula disandang oleh Liza Hanim sekali gus melayakkannya untuk menerima hadiah wang tunai RM50,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM5,000 serta piala.

Lan Solo berpuas hati menduduki tempat ketiga. Sebagai ganjaran, beliau memenangi hadiah wang tunai RM30,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Boracay di Filipina, barang kemas, baucar beli-belah bernilai RM4,000 dan piala.

Nasib nyata tidak menyebelahi Hazami apabila hanya menduduki tempat keempat sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Jogjakarta, barang kemas, baucar beli-belah bernilai RM3,000 serta piala.

Sementara itu Firman dan Tia Jinbara masing-mading diumum pemenang tempat kelima dan keenam dalam pertandingan itu.

Kesemua persembahan peserta pada peringkat akhir diadili oleh juri terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.

Program akhir GV4 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Konsert akhir turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi Ezad Lazim dan Mamat Exist.