Pulangkan RM90,000 Atau Identiti Didedahkan

  • Print

Den bersama Aziz  membuat laporan berhubung penipuan yang didakwa dilakukan seorang wanita yang menyamar sebagai agen perlancongan. Kredit foto BH online. Den bersama Aziz membuat laporan berhubung penipuan yang didakwa dilakukan seorang wanita yang menyamar sebagai agen perlancongan. Kredit foto BH online.

Pelakon, Den Wahab dan pengarah, Aziz M Osman, mengesa wanita yang menipu dan menyamar sebagai wakil sebuah agensi pelancongan segera memulangkan wang berjumlah RM90,000 atau identitinya didedahkan.

 

Memetik laporan BH online, Den Wahab, berkata beliau memberi tempoh seminggu kepada wanita terbabit untuk memulangkan wang mereka.

"Kami beri masa seminggu kepada wanita itu. Jika dia enggan berbuat demikian, kami tidak teragak-agak menyebarkan identitinya.

"Segala maklumat mengenai dia, ada dalam tangan kami," katanya

Den dan Aziz telah membuat laporan polis terhadap wanita terbabit di Balai Polis Mutiara Damansara, pada Rabu.

Baru-baru ini, Den dan Aziz, yang diiringi 22 anggota keluarga mendakwa kerugian kira-kira RM90,000 selepas ditipu seorang wanita yang mengaku mempunyai agensi pelancongan dan menawarkan pakej melawat Korea Selatan selama lima hari empat malam.

Namun, pada hari ketiga rombongan berada di Korea Selatan, Den dan Aziz mendakwa mereka diminta mengosongkan bilik penginapan selepas agensi pelancongan, Arba Travel & Tours tidak menerima bayaran daripada individu terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Arba Travel & Tours, Ammar Shahrin, berkata atas dasar belas kasihan terhadap keluarga Den dan Aziz, pihaknya mengeluarkan kos sebanyak RM50,000 membawa mereka pulang ke tanah air.