Wed04252018

LAST_UPDATEWed, 25 Apr 2018 2pm

Diana Tak Pernah Halang Farid Jumpa Anak

..

Aktres Datin Diana Danielle menepis dakwaan suaminya, Datuk Farid Kamil Zahari mengalami tekanan kerana dihalang berjumpa dua anak mereka.

 

Laporan eksklusif New Straits Times (NST) menyebut, Diana memberitahu dia tidak pernah mengeluarkan arahan melarang Farid mendekati anak mereka.

"Disebabkan saya bekerja, saya tinggalkan dua anak saya di bawah jagaan ibu.

"Rumah ibu hanya setingkat bawah rumah saya iaitu di kondominium yang sama. Dia boleh berjumpa anak-anak dengan mudah kalau dia mahu," katanya.

Dalam pada itu, isu penahanan Farid tambah 'panas' apabila rakaman video Bigo Live pelakon dan pengarah itu tersebar di laman sosial, sejak malam tadi.

Klip video itu dipercayai rakaman siaran langsung dilakukan Farid bersama seorang pelakon lelaki beberapa jam sebelum insiden Farid bertindak kasar di balai polis, semalam.

Dalam rakaman itu, Farid antara lain mengulas mengenai projek lakonan drama dan filem terbarunya.

Bagaimanapun, netizen menyifatkan aksi Farid sebagai 'pelik' hingga ada yang mendakwa dia seolah sedang khayal ketika siaran langsung itu dibuat.

Semalam, dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan berita bintang filem Lagenda Budak Setan berusia 36 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut di kaunter aduan Balai Polis Cawangan Trafik, Kota Damansara.

Selain menampar polis dia turut menendang dua orang awam di dalam balai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis ganja.

Hari ini, Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah reman Farid selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.