Sat06232018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 10am

Raja Farah Ada Sebab Biarkan Berat Badan Naik

..

Pelakon dan pengacara Raja Farah, 30, mendedahkan dia mengalami kenaikan berat badan mendadak sejak kebelakangan ini namun buat masa ini dia sengaja tidak mengambil langkah mendapatkan semula berat idealnya.

Mengaku risau dengan masalah itu tetapi dia tetap berfikiran positif dan menunggu masa yang sesuai untuk dia memulakan usaha kembali langsing seperti sebelum ini.

Kata pemilik nama sebenar Raja Farah Raja Aziz ini, antara sebabnya kerana anaknya Imran Iskandar yang kini berusia satu tahun setengah masih lagi menyusu badan. Selain itu dia baru saja mengalami keguguran kali kedua, kira-kira dua bulan lalu.

"Saya sebenarnya mengalami kenaikan berat badan yang mendadak tapi saya belum berbuat apa-apa lagi. Lagipun Imran masih menyusu badan. Tunggu lah sampai Imran genap dua tahun nanti.

"Berat badan saya memang cepat naik di awal-awal kehamilan. Selepas mengalami keguguran pada tahun lalu iaitu beberapa hari sebelum menjelang Aidilfitri, sebenarnya dua bulan lalu saya keguguran lagi," katanya dengan nada tenang sekaligus menjawab spekulasi dia dikatakan hamil kerana penampilannya yang semakin berisi.

Farah berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan program 2018 Media Prima bertempat di hotel Majestic, KL, pada Khamis.

Berkongsi mengenai dugaan dua kali keguguran, Farah berkata dia dan suaminya berasa sangat sedih dan agak terkesan namun menerimanya dengan reda.

"Ia berlaku ketika usia kandungan saya lapan minggu dan sebenarnya sebelum itu saya tidak tahu pun yang saya hamil. Lagipun dalam tempoh itu sangat sangat aktif, saya banyak menyertai karnival gerai jualan yang memerlukan saya ke luar kawasan Kuala Lumpur untuk beberapa hari. Jadi mungkin sebab saya banyak berjalan tambahan ketika itu rahim saya belum cukup kuat.

"Say akui berasa sedih dan agak terkesan. Begitu juga dengan suami tambahan dia memang mahukan anak lagi dalam tempoh yang cepat disebabkan usianya semakin meningkat. Perbezaan usia kami enam tahun.

"Tapi kami reda dan menganggap ada hikmahnya dan mungkin Allah mahu beri masa lagi kepada Imran untuk lama lagi bermanja. Dia pun nampaknya belum bersedia untuk mempunyai adik," katanya sambil tertawa tatkala bercerita mengenai anak sulungnya itu.

Mengenai perkembangan karier pula, Farah kini memikul tanggujawab sebagai salah seorang hos program CJ Wow Shop yang bersiaran setiap hari di saluran TV9 dari jam 8.30 hingga 6 petang. 

Selain itu dia kembali mengusahakan perniagaan kek dan banyak menghabiskan masa di studio penghasilan kek milinya yang terletak di Glenmarie.

"Saya sudah mengendalikan CJ Wow Shop sejak enam bulan lalu. Setakat ini dapat memberi komitmen dengan baik. Dari segi pembahagian masa juga tiada masalah.

"Jika bekerja, anak saya dijaga oleh pembantu tetapi saya memang bawa mereka sekali ke studio. Lagipun jarak studio 'baking' saya dengan studio CJ Wow Shop tidaklah jauh sangat, dapat lah saya menjeguk studio saya," katanya.

Dalam pada itu Farah berkata dia sudah terfikir untuk aktif semula dalam lakonan namun setakat ini belum ada tawaran yang sesuai.

"Sebelum ini saya memang ada cakap, mahu perlahankan karier lakonan tetapi baru-baru ini saya buat keputusan untuk aktif semula. Itu pun jika watak yang ditawarkan sesuai dan jika suami izinkan saya lakonkan watak itu, saya akan terima tawaran.

"Buat masa sekarang belum ada lagi tawaran. Mungkin juga bila saya dah kuruskan badan nanti, barulah banyak tawaran akan datang nanti,"katanya sambil tersenyum.