Sun02182018

LAST_UPDATESat, 17 Feb 2018 10pm

Fathia Minta Maaf Isu Komen Suruh Iqram Bunuh Diri

..

Aktres kontroversi Nur Fathia Latiff, 30, memohon maaf atas keterlanjurannya meninggalkan komen berbaur provokasi terhadap Iqram Dinzly ketika aktor itu membuat siaran langsung melalui Instagram, Selasa lalu.

Menerusi laman Instagram, Fathia memberitahu, insiden itu hanyalah salah faham dan dirinya tidak berniat jahat terhadap Iqram.

"Salam untuk semua... Saya ingin meminta maaf atas pertuturan saya dengan Iqram, tempoh hari. Ini hanyalah salah faham memandangkan saya dan dia dalam keadaan baik.

"Saya tidak mempunyai niat buruk (mala fide) sama sekali kepada beliau. Sekali lagi saya minta maaf di atas sensitiviti isu ini," tulisnya melalui entri terbaharu, malam tadi.

Berdasarakan kemaskini di media sosial miliknya itu, Fathia kini sedang berada di Berlin, Jerman.

Terdahulu, bintang drama Menanti Februari ini sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan empat komen termasuklah ayat berbunyi 'pergi bunuh diri'

Komen itu mendapat pelbagai reaksi sekaligus disifatkan netizen sebagai melampau dan provokatif terhadap Iqram.

Iqram pula dikatakan berang lalu berkongsi video menempelak aktres jelita itu di laman sosial.

Sejak kebelakangan ini Iqram sering memuat naik aksi-aksinya di laman sosial yang dianggap pelik oleh masyarakat sekaligus mengundang kontroversi hingga menarik perhatian mufti dan tokoh agama.

Begitu juga dengan Fathia yang sejak dari tahun lalu sering mencetuskan pelbagai kontroversi gara-gara kenyataannya juga aksinya di laman sosial seperti di Instagram, Twitter dan Bigo Live.

 

{ Baca lagi: Borak di IG Live, Fathia Suruh Iqram Bunuh Diri? }