Sun02252018

LAST_UPDATESat, 24 Feb 2018 9pm

Filem Biografi The Pocket Rocketman Telan Kos RM6 juta

..

Kisah suka duka perjalanan pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang, hingga namanya menjadi sebutan di arena sukan antarabangsa bakal diangkat ke layar perak pada pertengahan 2019.

Memetik laporan BH online, filem biografi juara dunia acara keirin itu dijangka dapat disempurnakan dalam tempoh setahun itu dihasilkan untuk mengangkat ikon negara, sekali gus dijadikan bahan rujukan dan menyuntik inspirasi kepada masyarakat.

Azizulhasni berkata, cerita yang ingin dikongsi nanti bukan hanya mengenai kejayaan, sebaliknya mengimbas permulaan sejarah cintanya terhadap sukan lumba basikal yang sarat emosi, air mata dan keringat.

"Banyak perkara mahu saya ceritakan yang diharap mampu memberi semangat kepada orang lain supaya jangan berhenti berusaha dan berdoa untuk menggapai impian sekali pun nampak mustahil.

"Kejayaan ini tidak datang begitu saja kerana saya juga pernah melalui permulaan yang sukar, malah ketika peringkat permulaan di Dungun (Terengganu) dulu, saya nyaris mati dilanggar lori tanah dalam perjalanan pulang daripada latihan.

"Apabila saya dimaklumkan mengenai idea pembikinan filem biografi ini, pastinya saya terharu, namun pada sama menyimpan harapan legasi ini mampu menyuntik inspirasi kepada semua tanpa mengira bidang yang diimpikan," katanya.

Nama pelumba basikal trek berusia 30 tahun itu menjadi sebutan hingga digelar The Pocket Rocketman kerana tubuhnya yang kecil berbanding pelumba lain, namun berupaya menjadi ahli sukan berbasikal Malaysia pertama memenangi pingat pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia dan Sukan Olimpik.

Sementara itu, pengarah filem berkenaan iaitu Raja Mukhriz berkata, praproduksi filem terbabit mengambil masa yang panjang bagi memastikan segala fakta penting dalam hidup jaguh sukan itu dapat dikumpulkan sebelum memilih yang terbaik untuk dipaparkan kepada khalayak.

"Bagaimanapun buat masa ini pihaknya belum memilih pelakon yang bakal membawakan watak The Pocket Rocketman.

Filem dengan bajet RM6 juta itu diterbitkan hasil kerjasama ThreeSixty Management, UniTalent Sdn Bhd dan UUM.