Sun06242018

LAST_UPDATESun, 24 Jun 2018 11am

Hikmah Alami Kerugian RM11 juta, DSV Rancang Terbit Program Agama

..

Pengalaman ditipu hingga kerugian berbelas juta ringgit oleh kontraktor yang menguruskan projek pengubahsuaian studio miliknya tidak membantutkan perancangan jutawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) untuk meneruskan pembinaan premis tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, pengasas produk jenama Vida Beauty ini berkata, sepatutnya studio yang berkeluasan dua ekar itu dijadualkan siap setahun lalu, namun ia tertangguh sehingga kini.

“Sakitnya hati saya. Saya terpaksa menanggung kerugian RM11 juta selepas ditipu kontraktor berkenaan.

“Padahal studio itu sepatutnya siap pada September lalu dan program Gegar Vaganza juga patut dilangsungkan di situ,” katanya.

Ekoran musibah yang menimpanya, beliau terpaksa mencari pengganti untuk menyelesaikan masalah studio yang dihadapi.

"Saya terpaksa mencari orang lain untuk menyelamatkan projek berkenaan dan menukar kontraktor. Insya-Allah selepas raya nanti, studio itu akan beroperasi dan program keagamaan terbitan saya bakal dilangsungkan di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Vida mengakui beliau mengambil pendekatan untuk 'terbang rendah' dari radar industri hiburan buat sementara waktu kerana mahu bermuhasabah.

Kata Vida, beliau mahu memberi fokus kepada perniagaan yang diceburi melalui media sosial.

“Saya sengaja menguji sejauh mana media sosial dapat membantu perniagaan saya. Ternyata, saya berjaya menempatkan diri dalam kalangan pengikut ramai,” katanya.

Vida yang bijak mencuri peluang untuk mempopularkan produk jenamanya dengan menaja program berunsur hiburan tempatan pernah mencipta fenomena selepas tampil dengan single berjudul I Am Me.