Mon07232018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 9pm

Matt Damon Pindah ke Australia Sebab Anti Donald Trump?

..

Aktor terkenal Matt Damon dikhabarkan akan berpindah ke Australia sebagai satu usaha untuk melarikan diri dari pentadbiran Presiden Amerika, Donald Trump.

 

Terdahulu, bintang filem Interstellar itu dikatakan kecewa dan tidak suka dengan cara Trump malah telah mengkritik billionair terbabit sebelum pilihan raya 2016.

Spekulasi perpindahan pelakon berusia 47 tahun mula timbul selepas dia dilaporkan telah membeli sebuah rumah di Teluk Byron, New South Wales. Kediaman tersebut pula berdekatan dengan kediaman milik sahabat baiknya, Chris Hemsworth.

Menurut Page Six, satu sumber mendedahkan, Matt memberitahu kawan-kawannya di Hollywood sebab dia sekeluarga berpindah ke Australia kerana dia tidak bersetuju dengan dasar pemerintahan presiden.

Tambah sumber, "Matt mengatakan langkah itu (berpindah) tidak akan memberi kesan kepada kerja-kerja beliau kerana dia akan pergi ke mana-mana saja lokasi projeknya. Dia juga memberitahu kawan-kawan dia mahu mempunyai tempat yang selamat untuk membesarkan anaknya."

Walau bagaimanapun, jurucakap Matt Damon iaitu Jennifer Allen menyangkal khabar angin tersebut.

Menerusi satu kenyataan yang dikirim menerusi e-mel kepada Globe, pihaknya mengakui pelakon itu memang ada berulang-alik ke Australia beberapa kali sejak kebelakangan ini.

"Matt telah melawat Australia beberapa kali baru-baru ini, tetapi dia tidak membeli sebuah rumah di sana atau dia merancang berpindah ke sana."

Desas desus Matt Damon bersikap anti dengan Donald Trump timbul selepas bapa empat anak perempuan itu dikatakan tidak menyokong prospek pilihan raya 2016 ketika Trump adalah calon presiden.

"Tidak mungkin kita membiarkan lelaki ini menjadi presiden," katanya pada ketika itu.

Mengenai perkembangan kerjaya, dia akan membuat penampilan cameo menerusi filem Ocean's 8, yang dijangka ditayangkan pada 8 Jun di Amerika Syarikat.