Mon04232018

LAST_UPDATESun, 22 Apr 2018 10pm

Suami Izreen Ceraikan Isteri Pertama Dengan Talak Satu

..

Ikatan perkahwinan selama lima tahun di antara pemuzik bebas Ude atau Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, dan Intan Liana Saleh kini telah pun terlerai.

Suami kepada aktres Izreen Azminda itu melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya dengan talak satu, bertempat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, kira-kira jam 9.50 pagi Khamis.

Seperti yang dilaporkan mStar online, lafaz dibuat Ude di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaluddin dan mahkamah yang menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah memerintahkan Intan untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula hari ini.

Suasana dalam galeri sebelum itu pilu apabila Shaiful memerintahkan pasangan itu bermaaf-maafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami-isteri sebelum lafaz dibuat Ude. Intan menitiskan air mata ketika bersalaman dengan Ude dan selepas lafaz cerai dibuat lelaki itu.

Pada 30 November tahun lalu, Ude selaku plaintif kes berkenaan memfailkan permohohan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 terhadap Intan.

Dalam pada itu, ketika ditanya oleh Shaiful alasan Ude memohon bercerai, lelaki itu memberitahu mahkamah keputusan tersebut atas alasan tiada lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan.

Kedua-duanya hadir di mahkamah bersama peguam masing-masing.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, tiga tahun, serta Ariq Muqri, satu tahun.

Pada November lalu, Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.

Izreen mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinannya terdahulu dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza.