Mon04232018

LAST_UPDATESun, 22 Apr 2018 10pm

Pereka Grafik Malaysia Ini Dapat Pujian Daripada Paramore

..

Nama pereka grafik tempatan, Adora Chloe George yang pernah tular lukisannya dipilih Marvel kembali mencuri perhatian apabila kumpulan Amerika Syarikat (AS), Paramore pula memuji kreativitinya.

Lapor Harian Metro, pada 21 Mac lalu kumpulan berkenaan memuat naik foto cenderahati Adora, 28, hasil kolaborasi dengan rakan pereka grafik dari New Zealand dikenali sebagai Rhianna di beberapa akaun media sosial.

Menurut Adora, dia sebenarnya sudah lama ada hubungan ‘istimewa’ dengan kumpulan itu dan mengirim sendiri cenderahati berupa sepasang pin itu kepada vokalis Paramore, Hayley Williams.

"Paramore kumpulan kegemaran saya sejak dulu. Band itu sentiasa menyokong kami sebagai pereka grafik dan sangat menghargai secara peribadi peminat mereka.

"Jarang kumpulan antarabangsa lain berbuat demikian. Hayley sendiri pun sentiasa like gambar selfie saya di Instagram.

“Untuk pin itu, ia adalah kolaborasi saya dengan kenalan saya Rhianna dari New Zealand. Rhianna yang mengirim pin itu kepada Hayley disebabkan dia mempunyai alamat pejabat Paramore di AS.

“Mulanya kami tertanya sama ada pin itu sampai kepadanya atau tidak. Tiba-tiba teman lelaki saya kejutkan saya seawal 6 pagi semalam memberitahu Paramore sudah kongsikan gambar pin itu di Instagram, Twitter, dan Facebook,” katanya.

..

Selain itu, Adora dan rakannya mendapat permintaan luar biasa untuk menambah stok pin berkenaan dan habis terjual dalam masa beberapa jam.

“Terdahulu kami jual 100 unit saja sebelum habis terjual dalam masa beberapa hari dan terus mendapat permintaan. Apabila Paramore kongsi pin itu, tiba-tiba permintaan jadi lebih luar biasa.

“Kami mengambil keputusan untuk memenuhi permintaan pelanggan dan menambah lagi 100 unit menerusi pra pesanan. Dalam masa lima jam saja, pin itu sudah terjual habis,” katanya.

Sebelum ini, nama Adora tular apabila lukisannya watak Shuri dalam filem Black Panther dimuat naik syarikat hiburan gergasi Amerika Syarikat (AS), Marvel Entertainment di Instagram rasminya.