Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

9 Tahun Tiada Baby, Nora Akui Kekok Uruskan Neyqal

..

Setelah sembilan tahun tidak mempunyai anak kecil, Nora mengakui pada awalnya dia agak kekok mengurus dan menjaga Mohamed Neyqal yang kini mencecah usia tiga bulan.

Menurut Nora, dia dan suaminya Nedim Nazri sering bertelagah pendapat tentang sesuatu perkara yang melibatkan anak mereka itu memandangkan masing-masing pernah mempunyai pengalaman menjaga anak kecil ketika melalui kehidupan perkahwinan terdahulu.

"Kekok juga sebenarnya. Sebab kami masing-masing sudah lama tiada anak kecil. Macam saya, sudah sembilan tahun tiada baby dan Nedim pula, anaknya dia sudah enam tahun.

"Saya dan Nedim sering bertelagah pendapat contohnya, dia kata boleh tapi bagi saya pula saya rasa tak boleh. Bila baby demam, cepat-cepat kami hubungi makcik-makcik kami.

"Macam Nedim, dia berani bawa anak keluar negara walaupun masih baby. Tetapi saya pula, Rayqal sudah besar baru saya bawa dia bercuti keluar negara," kongsinya ketika ditemui pada majlis perasmian pembukaan salon miliknya, Karva Salon for Ladies by Nora Danish, semalam.

Nora bagaimanapun berkata, dia bersyukur kerana mendapat seorang suami yang sangat bertanggungjawab dan sama-sama menjaga anak mereka termasuklah berjaga malam.

"Saya bertuah kerana dari hari pertama lagi Nedim banyak membantu menguruskan baby. Dia yang tukarkan lampin, buat sus dan waktu malam kalau saya terlalu penat, dia yang akan jaga dan tidurkan baby," tuturnya.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga, Nora berkata, setakat ini dia tidak mempunyai masalah.

Tambahan Nedim tidak pernah menghalangnya untuk bekerja atau keluar menjalani penggambaran. Sebaliknya suaminya itu sentiasa memberi sokongan baik dari segi kerjaya seninya juga mengembangkan perniagaannya.

"Saya bertuah kerana dikurniakan seorang suami yg memahami. Dia seorang ahli perniagaan, dia juga seorang bapa dan sudah biasa menguruskan semua kerja sendiri.

"Dia juga sentiasa menyokong malah dia cakap pada saya jangan hadkan kerja saya dan dia benarkan saya keluar menjalani penggambaran," katanya yang bakal menjalani penggambaran drama bersiri selepas hari raya Aidilfitri nanti.

..

Dalam pada itu, Nora mengakui dia berasa sedih sehingga tidak dapat menahan air mata apabila membaca komen negatif dilaman sosial oleh sesetengah pihak netizen terhadap Neyqal.

Justeru dia berharap kempen antibuli siber dan berita palsu yang dilancarkan baru-baru ini dapat mengubah dan membendung gejala tersebut daripada terus berleluasa.

"Sebelum ini saya banyak melihat rakan-rakan artis yang menerima kritikan atau kata-kata kesat netizen mengenai anak-anak mereka.

"Tetapi kali ni apabila jadi pada saya sendiri, saya terkejut bagaimana orang sanggup mengatakan tentang bayi baru dilahirkan dan yang masih suci ibarat seperti kain putih.

"Saya menangis juga lah sebab saya pun manusia biasa, sekuat-kuat mana pun kita dan walaupun sudah biasa dengan tohmahan tetapi sampai satu tahap memang kita akan rasa down. Tapi suami banyak memujuk dan menasihatkan saya supaya banyak bersabar

"Saya berharap kempen antibuli siber yang diadakan dapat mengubah dan membendung gejala ini. Jika dibiarkan, bimbang jika ia akan menjadi budaya dalam masyarakat kita," tuturnya.