Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

Celup Tangan Anak Tiri Dalam Air Panas : Azri (AF9) Dipenjara 14 Hari

..

Bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-9, Azri dihukum dipenjara selama 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Jumaat.

Azri atau nama sebenarnya Mohammad Azri Abdullah dituduh mencelup kedua-dua tangan anak perempuan tirinya di dalam air panas sehingga dimasukkan ke wad selama 19 hari selepas mengalami kecederaan yang serius.

Hakim Norshila Datuk Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azri, 31, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kesnya pada Khamis.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula Jumaat dan turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Laporan menyebut, sejurus selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, ibu Azri, isteri, anak-anak termasuk mangsa serta kakaknya yang berada di galeri awam terus meluru ke kandang tertuduh untuk memeluknya.

Manakala ibunya yang hampir pitam meraung-raung sambil menarik tertuduh sebelum ditenangkan anggota polis.

“Nanti orang pukul, nanti orang pukul dia. Jangan pergi! Jangan! Dia nak siapkan sekolah anak, dia mandikan anak, dia bagi anak makan! Orang tak tahu!,” jerit wanita itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang ketika itu berumur sembilan tahun tidak mengaku mengambil coklat menyebabkan tertuduh mengambil sebuah periuk yang berisi air panas dan mencelup kedua-dua belah tangan anak tirinya itu.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, pada 8 pagi, 5 Mei 2016.

Azri dan Salma berkahwin pada 31 Jan 2015 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Salma juga mempunyai dua anak iaitu mangsa dan seorang anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu.

- BERNAMA