Fri05252018

LAST_UPDATEFri, 25 May 2018 12pm

Fathia Bengang Akaun Media Sosial Miliknya Bakal Disiasat

..

Aktres kontroversi, Fathia Latiff meluahkan rasa tidak puas hati apabila akaun media sosial miliknya bakal disiasat kerana disyaki telah menyalahi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Menerusi akaun Instagram miliknya, Fathia berkongsi satu notis yang dihantar kepadanya untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, penghantar notis, lokasi dan tarikh siasatan tidak dipaparkan.

Dia juga membuat pautan @chedetofficial yang merupakan akaun rasmi milik Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Saya mahu seluruh dunia melihat apa yang mereka lakukan kepada saya. Saya pun sudah padam akaun Twitter dan sudah lama tidak kemas kini akaun itu. Saya perlukan pengawal peribadi,” tulisnya.

Bagaimanapun, perkongsian berkenaan telah dipadam selepas satu jam dimuat naik.

Menurut laporan Kosmo!, berdasarkan komen-komen netizen terhadap perkongsian tersebut, rata-rata menyatakan kemungkinan punca akuan pelakon drama Ariana Rose itu bakal disiasat disebabkan kerap mengeluarkan kenyataan dangkal di laman Twitter.

Sekitar hujung tahun lalu, Fathia kerap memuat naik status memuji Mahathir. Dia pernah menyifatkan mana-mana individu yang melupakan jasa Mahathir sebagai kacang lupakan kulit.