Wed06202018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

Solat Dalam Kereta Itu Antara Saya Dengan Allah - Fathia

..

Aktres kontroversi Nur Fathia Latiff memberitahu dia tidak menyedari kelakuannya menunaikan solat di dalam kereta ketika dalam perjalanan untuk acara pertunjukkan fesyen Primavalet di hotel Majestic Kuala Lumpur dirakam oleh rakannya iaitu penggaya rambut dikenali sebagai Ridzokumura.

Fathia, 30, menyifatkan ibadah yang dilaksanakan itu sebagai urusannya dengan Tuhan dan berharap tidak timbul apa-apa isu.

"Saya buat itu (solat) kerana Allah bukan untuk manusia.

"Itu antara saya dengan Allah.

"Saya tidak sedar ia dirakamkan," jawabnya ringkas ketika ditemui di majlis tersebut.

Sejak petang semalam, kecoh mengenai video menunjukkan Fathia sedang bersolat di dalam kereta dirakamkan oleh Ridzokumura dan dimuat naik menerusi aplikasi Instagram Story.

Perkongsian berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen sekaligus menimbulkan persoalan ramai mengapa pelakon drama Menanti Februari itu perlu menunaikan solat di dalam kereta sedang dia bukan berada dalam situasi sukar atau negara dalam keadaan darurat dan berkemungkinan tempat yang dituju itu mempunyai surau.