Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

"Teruk Dikecam, Lepas Ni Keluar Rumah Saya Mungkin Berniqab"

..

Setelah setahun 'meninggalkan' dunia lakonan, Noorkhiriah kembali membuat kemunculan semula menerusi drama Nur yang kini ditayangkan di slot Samarinda saluran TV3.

Menurut Khiriah, 41, kemunculannya bagaimanapun 'disambut' dengan kecaman oleh netizen di laman sosial gara-gara watak yang dilakonkan iaitu sebagai seorang kakak yang bersikap ditaktor bernama Aishah dalam karya arahan Shahrulezad Mohameddin itu.

"Selepas setahun kini saya kembali dan membwakan watak yang saya memang sudah bersedia untuk dikecam. Sama sekali tak pernah bawakan watak macam tu. Dan saya tidak sangka, saya akan dikecam seteruk ini.

"Aishah ni merupakan seorang anak dari keluarga alim ulama yang popular dan dalam drama tu penampilan saya bertudung labuh, berstokin tetapi hatinya busuk. Namun dia bersikap begitu kerana keadaan yang memaksa dia jadi macam tu.

"Baru episod pertama ditayangkan kelmarin, saya sudah terima banyak kritikan. Kalau nak tahu, sampai jam dua pagi saya baca komen dan kritikan di Instagram dan Twitter," katanya ketika ditemui pada majlis previu Kempen Terima Kasih 2018 Rangkaian Televisyen Media Prima, bertempat di hotel New World, semalam.

Tidak menyangka dia akan menerima respon sebegitu rupa, Khiriah bagaimanapun tidak berkecil hati dengan kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya. Sebaliknya dia berasa puas kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada naskah tersebut.

Katanya, sebagai pelakon dia hanya menjalankan tanggungjawab menghidupkan dan menjiwai wataknya. Oleh sebab itu, dia tenang menerima semua kecaman.

"Rata-rata menyampah dan tak sanggup tengok perangai Aishah yang busuk hati dan ditaktor. Tak sangka baru episod pertama penonton sudah nampak perangai Aishah. Semasa penggambaran, kami tak nampak pun kejahatan Aishah ini macam mana lagipun skrip 'on-going;.

"Saya dimaklumkan oleh pengarah, penonton sampaikan 'mute' dialog-dialog yang mereka rasakan terlalu melampau. Saya tak sangka, penonton masa kini mereka sangat menghayati drama dan watak yang mereka tonton.

"Sebenarnya semasa di set lokasi, pengarah ada berkata kepada saya, "matilah kau kena kecam," tapi saya jawab, tak mengapa lah bang, saya redha. Saya hanya menjalankan kerja saya sebagai pelakon," tuturnya sambil tertawa.

"Disebabkan banyak kecaman yang dilemparkan, selepas ini kalau saya keluar rumah saya mungkin akan berniqab lah," sambungnya sambil bergurau.

Dalam pada itu, Khiriah berkata, menerusi drama kali ini dia mahu mengubah persepsi umum yang kebanyakan mengenali dirinya yang sinonim dengan watak gadis kampung dan watak yang bermain dengan emosi. Selain itu, dia menganggap lakonannya kali ini sebagai satu dakwah kepada masyarakat.

"Selama ini orang kenal Khiriah dengan watak perempuan kampung yang comot, banyak menangis tetapi kali ini lain.

"Saya juga anggap ini satu dakwah saya kepada masyarakat yang mana antara mesej yang hendak disampaikan ialah jangan terlalu cepat menilai orang dari segi luaran saja sebaliknya apa yang penting hati kita perlu bersih," tuturnya.

Drama Nur yang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Amyra Rosly, Fatimah Abu Bakar, Azharani, Datuk Jalaludin Hassan dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Khiriah bakal muncul menerusi sebuah drama komedi yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Selain itu, dia akan menggunakan kesempatan sepanjang bulan Ramadan dengan menjalani ibadah berpuasa bersama keluarga di samping menjalankan perniagaan.