Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 12am

Kelas Ilmu Agama 'Pengubat' Luka Hati Deja Moss

..

Meskipun menghitung hari menanti kes perceraian dengan suami, Azfendy Azzuddin Ahmad selesai namun penyanyi Deja Moss bersyukur kerana masih menjalani rutin kehidupannya dengan tenang dan gembira.

Menurut Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss, 45, semenjak ditinggal suami kira-kira lapan bulan lalu, dia banyak menghabiskan masanya mengikuti kelas ilmu agama di sebuah pusat Tawfiq yang terletak di Sungai Penchala.

"Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan saya sekarang.

"Sejak suami saya keluar rumah pada 27 September tahun lalu, saya banyak habiskan masa menghadiri majlis ilmu di pusat Tawfiq, disitulah tempat saya setiap malam.

"Hikmah selepas apa yang berlaku, menjadikan saya lebih banyak mendekatkan diri dengan Allah," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra anak seni bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, bertempat di Dapoq Che Jun, Kuala Lumpur, semalam.

Deja berkata, dia reda dengan keputusan Azfendy mahu menceraikannya kerana dia sudah tidak sanggup untuk membiarkan lelaki itu terus melakukan perkara-perkara yang memalukan.

Menurutnya, dia sudah lama mengetahui suaminya itu menjalin hubungan sulit dengan perempuan lain. Malah dia pernah bersemuka dengan wanita tersebut ketika bercuti di London beberapa tahun lalu.

"Punca sebenar rumah tangga saya berantakan disebabkan suami saya berlaku curang sejak 2013 lagi. Saya kenal dengan wanita itu dan pernah bersemuka dengannya ketika bercuti di London.

"Saya sangat sedih dan kecewa sebab rasa seperti diperbodohkan. Tambah mengecewakan keluarga mertua saya juga tahu perkara itu dan merahsiakan daripada saya,” luah Deja.

Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008. Selama 10 tahun hidup bersama, pasangan ini tidak mempunyai zuriat.

Sebutan lafaz cerai Deja dan Azfendy akan dilakukan pada 23 Mei ini di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.