Wed06202018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

Tak Masuk Akal, Saya Tak Layak - Sharifah Amani

..

Aktres Sharifah Amani, 31, menyifatkan desas-desus mengenai namanya dilobi untuk memengang salah satu jawatan penting dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) seperti yang diperkatakan di media sosial sejak beberapa hari lalu sebagai tidak masuk akal.

Tegas pelakon yang juga mesra disapa dengan panggilan Nani ini, dia sama sekali tidak layak untuk memikul tanggungjawab tersebut memandangkan dia tidak mempunyai kelulusan dalam jurusan yang diperlukan untuk duduk di kerusi utama pentadbiran perbadanan tersebut.

"Saya ada dengar tentang itu dan kawan-kawan saya pun ada tag saya di Twitter sampaikan saya tutup Twitter selama dua hari (gelak). Saya tahu itu hanya usik-usik mereka saja.

"Tak masuk akal. Saya tak layak sebab saya tak belajar. Saya tiada kelulusan dalam jurusan undang-undang mahupun jurusan perniagaan. Kalau nak letak orang yang tak reti apa-apa, maka akan berbalik semula lah macam yang dulu.

"Saya tahu saya boleh bercakap dan membangkitkan kesedaran kepada umum tetapi kita perlukan orang yang belajar undang-undang, belajar tentang perniagaan, seseorang yang berkaliber dalam bidang seni.

"Sebagai anak seni, saya mahukan seorang yang betul-betul berpengetahuan dan boleh mengendalikan industri dengan baik," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra anak seni bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, bertempat di Dapoq Che Jun, Kuala Lumpur, semalam.

Pun begitu, Nani berkata dengan pengalaman yang ada, dia bersedia sekiranya diberikan kepercayaan sebagai penasihat atau pemberi pandangan juga buah fikirannya bagi memajukan lagi industri seni tempatan.

Akuinya, sejak kebelakangan ini dia sering menghadiri sesi mesyuarat yang diadakan oleh Finas serta persatuan lain seperti Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Seniman. Menerusi penglibatannya itu dia mengambil peluang untuk membuat pemerhatiannya sendiri sambil menimba ilmu daripada orang-orang berpengalaman.

"Beberapa tahun kebelakangan ni saya selalu hadir di mesyuarat Finas, Gafim dan Seniman dan saya memerhati cara mereka buat kerja dan menguruskan sesuatu, sambil-sambil itu saya pun belajar.

"Kalau nak suruh saya jadi penasihat, saya boleh. Tapi kalau nak suruh duduk di 'tempat yang tinggi' dan buat keputusan benda-benda yang penting, tidak mungkin.

"Saya tahu saya tidak layak. Kita kena sedar diri, sedar ruang. Kalau hendak bantu industri kita kena buat cara yang betul jangan semata-mata hendakkan kuasa," tuturnya.

Berkongsi pula mengenai perkembangan karier, Nani menantikan lima buah filem terbaharu lakonannya iaitu Zombitopia, Gol & Gincu, Motif, Sekolah Haha dan Mencari Rahmat yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.