Wed06202018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

Selepas 20 Tahun, Akhirnya Penny Tai Bakal Adakan Konsert di Malaysia

..

Penyanyi berasal dari Segamat, Johor yang kini berpengkalan di Taiwan, Penny Tai akhirnya bakal mengadakan konsert di tanah air selepas hampir dua dekad meraih populariti di persada nyanyian antarabangsa.

Konsert julung kali penghibur berusia 40 tahun ini diberi nama Penny Tai “Thief” Asia Tour Live in Malaysia 2018. Dianjurkan oleh The WonderLand + dan Neverfall, ia akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 11 Ogos depan.

Ini juga merupakan konsert paling besar Penny di negara sendiri selepas 20 tahun mencipta nama di luar negara.

Jualan tiket akan bermula pada 27 Mei ini jam 12 tengahari hingga 6 petang bertempat di ruang legar Plaza Sungei Wang.

Penny akan muncul pada jam 3:30 petang untuk bertemu dengan peminatnya sekaligus ia merupakan penampilan pertama di Malaysia selepas beberapa waktu. Dia juga akan menandatangani tiket yang dibeli peminat pada hari tersebut.

Sepanjang 18 tahun memacu kerjaya muziknya, Penny telah menghasilkan sebanyak 12 album. Hampir semua lagunya ditulis, dicipta dan dihasilkan sendiri. Walaupun jauh negara orang namun lagu-lagu nyanyian Penny dan sentiasa mendapat tempat hati peminatnya di Malaysia.

Antaranya lagu berjudul How (Zen Yang), The Love You Want (Ni Yao De Ai), Crazy Love (Ai Feng Le) Fly Ahead (Wang Qian Fei), Multiflora Rose (Ye Qiang Wei), One Person’s Luggage (Yi Ge Ren De Lu Xing), Whistleblowing (Cui Bi Bi), Strawberry Bread (Cai Mei Mian Bao) dan Lazy Wanderer (Lan Ren Man You)

Menerusi konsert ini nanti, Penny bakal memberikan satu pengalaman, kenangan paling bermakna ketawa dan air mata untuk para peminatnya.

Selama hampir 2 dekad, dengan usaha keras dan bakatnya dalam muzik, Penny telah memperoleh pengiktirafan dalam industri antaranya dia merupakan penerima Anugerah Golden Melody (juga dikenali sebagai Grammy dunia berbahasa Cina) di Taiwan untuk beberapa kali termasuk anugerah kategori Album Terbaik dan Artis Wanita Terbaik sekaligus menjadikannya salah seorang daripada rakyat Malaysia yang paling berjaya di negara itu.

..

Tiket-tiket berharga RM398 (VVIP), RM358 (VIP), RM298 (CAT 1), RM258 (CAT 2) RM198 (CAT 3) dan RM158 (CAT 4). Semua harga tiket tidak termasuk yuran pemprosesan sebanyak RM3.50. Manakala jualan tiket dalam talian secara rasminya akan bermula pada 1 Jun pada jam 12 malam melalui www.myticket.asia. Untuk maklumat lanjut layari www.facebook.com/TheWonderLandPlus

 ..