Mon06182018

LAST_UPDATEMon, 18 Jun 2018 3pm

Johan As'ari Lebih Baik Diam - Tegur Umie Aida

..

Tindakan Johan As'ari yang mencetuskan kontroversi gara-gara tweet-nya baru-baru ini meminta pihak polis memeriksa kediaman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) turut mendapat perhatian aktres terkenal Umie Aida yang sekaligus menegur pelakon lelaki itu.

Lapor mStar online, pelakon filem Dukun itu berpendapat lebih baik Johan berdiam diri daripada bersuara mengenai sesuatu yang dia tidak pasti.

"Berdiam itu lebih baik dari bercakap, bila bercakap nampak tahap pemikiran seseorang itu… sedih!” tulisnya di Twitter.

Umie turut memuat naik paparan artikel tentang Johan As’ari yang mahu pihak polis turut memeriksa rumah Tun M.

..

Terdahulu, tweet berbaur sindiran itu dimuat naik Johan mengundang rasa kurang senang netizen. Pelakon filem Juvana itu turut dikecam apabila dikatakan sengaja mencetuskan kontroversi bagi mencari publisiti murahan.

Johan merupakan anak ahli politik yang bergiat aktif dalam Umno iaitu Datuk As'ari Ibrahim, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Sebelum ini pihak berkuasa melakukan penggeledahan di premis serta kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan menemui sejumlah wang.

Johan bagaimanapun sudah memohon maaf kepada Tun M dan netizen yang tergores dengan kenyataan berkenaan. Jelasnya, dia tiada niat buruk sebaliknya sekadar meluahkan pendapat menerusi akaun sosial miliknya.