Wed06202018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 10pm

Nurul Izzah Usaha Bawa Radiohead ke Malaysia Selepas Ramadan

..

Janji yang pernah dibuat oleh Nurul Izzah Anwar untuk membawa kumpulan rock, Radiohead, ke Malaysia sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, bakal dikotakan ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak lama lagi.

Memetik laporan Bernama, Nurul Izzah berkata, janji berkenaan akan diuruskan selepas selesai Ramadan bagi menghormati bulan mulia itu, di samping memberi laluan kepada isu-isu lain yang lebih memerlukan perhatian.

"Kita kena follow fiqh of priorities (iaitu) mengikut prinsip keutamaan (dalam Islam). Ramadan bulan untuk mencari pahala. Saya akan bawa selepas Ramadan.

"Kita (juga perlu) jaga ekonomi (Malaysia) dulu,” katanya ketika menjadi tetamu Program Bicara Nine11, pada Khamis.

Anak sulung pasangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berkata beliau komited untuk menunaikan janji yang dibuatnya lima tahun lalu.

Komitmen tersebut turut dinyatakan beliau di laman media sosial Twitternya baru-baru ini.

“Indeed. A promise is a promise #PostRamadanDiscussion. Now get on to work! (Semestinya. Janji tetap janji#Perbincangan Selepas Ramadan. Kini perlu bekerja),” ujar beliau.

Tweet tersebut mendapat 3,800 ulang kicau (retweet) dan lebih 4,100 tanda suka.

Nurul Izzah berkata urusan untuk membawa kumpulan kegemarannya yang berasal dari Abingdon, Oxfordshire itu bakal melibatkan banyak perbincangan termasuk beberapa prasyarat tertentu yang perlu diambil kira supaya tiada kebimbangan dibangkitkan kelak.

"Jadi sudah tentu saya akan melakukan sedaya upaya. Tetapi, subjek kepada beberapa perkara yang perlu diambil kira,” jelas beliau.

Ditubuhkan pada 1985, kumpulan Radiohead terkenal dengan lagu-lagu seperti Creep, No Surprises, Karma Police, Exit Music, High and Dry dan My Iron Lung.

Kumpulan rock Inggeris itu dianggotai oleh Thom Yorke (penyanyi, gitaris dan pemain piano), Jonny Greenwood (gitaris utama dan keyboard), Colin Greenwood (bass), Ed O'Brien (gitaris, penyanyi latar) dan Philip Selway (pemain dram dan instrumen prekusi)

Sebelum ini Malaysian Digest pernah melaporkan, kumpulan yang popular dengan lagu Creep itu berpegang pada pendirian tidak akan membuat konsert di negara yang mempunyai hukuman mati.

Tapi siapa tahu, mungkin YB Nurul Izzah dapat mencairkan hati Radiohead sekaligus memujuk mereka membuat konsert di Malaysia nanti.

 { Baca lagi: Ini Pendirian Radiohead, Mampukah Nurul Izzah Tunai Janji? }