Sat06232018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 10am

Jangan Bangkitkan Lagi Cerita Putus Tunang

..

Penyanyi Sufian Suhaimi berharap isu putus tunang yang dilaluinya pada Februari lalu tidak lagi dibangkitkan ketika dikunjungi tetamu sepanjang musim Syawal nanti.

Memetik laporan BH online, penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu itu bersyukur, keluarga dan saudara-maranya memahami situasi yang dilalui, malah menerima penjelasan yang diberikannya ketika isu itu hangat diperkatakan.

"Saya yakin mereka tidak akan bangkitkan lagi isu itu apabila berkumpul nanti. Itu yang saya harapkan daripada semua kerana saya sudah melupakan apa yang berlaku," katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Sufian berkata, dia dan keluarganya akan meraikan hari kemenangan umat Islam itu selepas sebulan berpuasa secara sederhana di Mersing, Johor.

Katanya, kesempatan itu dimanfaatkan mereka dengan berkunjung ke rumah sanak-saudara bagi mengeratkan jalinan persaudaraan. Semestinya Sufian turut menyediakan sejumlah wang untuk diberikan kepada kanak-kanak.

"Tidak banyak persiapan yang dibuat. Baju raya ada dalam empat lima pasang, malah sebahagiannya pernah dipakai ketika saya menjayakan rakaman program khas raya.

"Saya juga tidak lupa menghadiahkan persalinan untuk keluarga. Jika ada yang berkenan di mata, saya akan beli. Seronok rasanya apabila dapat membeli buah tangan sebagai kenangan buat keluarga tersayang," katanya.