Sat06232018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 10am

"Saya Tiada Masalah Bercakap Loghat Negeri Sembilan" - Juzzthin

..

Penyanyi rap, Juzzthin menepis dakwaan sesetengah pihak mengatakan dia kekok bertutur dalam dialek Negeri Sembilan gara-gara namanya seakan nama 'mat salih'.

Menurut pemilik nama sebenar Mohamad Nazreen Norzali ini walaupun dilahirkan di Kuala Lumpur namun sejak kecil dia tinggal dan membesar bersama neneknya yang menetap di Kampung Senaling. Jadi dia langsung tidak mempunyai masalah untuk bertutur dalam loghat Kuala Pilah.

"Ramai orang tak tahu, sejak kecil saya duduk dan membesar dengan Wan (panggilan lain untuk nenek) saya di Senaling. Jadi memang saya tiada masalah nak bercakap dalam loghat negeri.

"Untuk sesiapa yang selama ini sangka Juzzthin tak pandai bertutur dalam loghat negeri tontonlah filem sulung saya, This Is Pilah: The Movie.

"Kalau saya bukan orang Negeri Sembilan sudah tentu saya tak akan terima tawaran berlakon dalam filem ini," ujarnya ketika Majlis Berbuka Puasa bersama barisan pelakon filem This Is Pilah: The Movie (TIPTM), baru-baru ini.

Jelas pemuda berusia 27 tahun ini, dia memilih nama pentas sebagai Juzzthin bukan kerana mahu menjadi 'mat salih'. Sebaliknya dia senang menggunakan nama itu kerana ia nama panggilan sejak dia di bangku sekolah lagi.

"Ada orang ingat saya ni orang putih (mat salih). Ada juga yang sangka saya ni orang Sabah. Saya gunakan nama Juzzthin tu sebab memang itu nama samaran saya sejak dari sekolah lagi," jelasnya.

Sementara berkongsi lanjut tentang filem sulungnya, Juzzthin berkata dia berasa bertuah kerana diberi kepercayaan untuk memengang watak utama dalam filem tersebut.

Pun begitu, dia berasa gementar menantikan reaksi penonton terhadap lakonannya yang bergandingan bersama pelakon baru, Iesna.

"Saya memengang watak sebagai Jasni. Dia menolong ayahnya iaitu lakona abang Kazar mengutip sewa rumah. Dalam masa sama dia jatuh cinta pada seorang gadis di kampungnya.

"Filem ini mengetengahkan mengenai adat istiadat di Kuala Pilah. Saya tidak sabar dalam masa sama gementar juga menanti reaksi pennoton apabila filem ini ditayangkan nanti," tuturnya.

Ditanya mengenai cabaran menjayakan wataknya, Juzzthin berkata dia tidak mempunyai masalah sepanjang penggambaran. Malahan dia mendapat banyak tunjuk ajar daripada pengarah juga para pelakon senior seperti Kazar.

"Penggambaran dijalankan di kampung. Oleh sebab sudah biasa dengan suasana kampung jadi saya tiada masalah.

"Dari segi watak pula, saya dapat banyak tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon-pelakon senior seperti abang Kazar," katanya.

Juzzthin sebelum ini pernah berlakon dalam siri mini kanak-kanak, Waktu Rehat saluran Disney. Dia juga berjaya mencuri perhatian ramai menerusi watak pelajar sekolah bernama Zack dalam siri popular Oh My English!.