Sat06232018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 10am

Raya di Perth Sama Meriah Macam di Malaysia

..

Bakal bercuti seminggu sebelum raya, pelakon Zahirah McWilson memberitahu dia seperti biasa akan terbang pulang ke Perth, Australia bagi menyambut lebaran di sana bersama keluarga ibunya.

Pelakon drama Duda Pujaan Dara ini berkata biarpun beraya di perantauan namun suasananya masih sama seperti di Malaysia.

Tradisi solat raya bersama-sama serta aktiviti bermaafan masih diteruskan memandangkan komuniti masyarakat Melayu di Perth agak ramai dan hubungan silaturahim sesama mereka rapat seperti keluarga.

"Ibu juga mempunyai saudara yang menetap di sana, maka tidak terlalu terasa perasaan raya di perantauan itu. Juadah raya juga sama seperti di Malaysia seperti ketupat, rendang, sate dan lontong.

"Perbezaan raya kali ini mungkin berkaitan pertambahan ahli keluarga baharu iaitu ayah tiri saya yang telah berkahwin dengan ibu pada April lalu.

"Selebihnya, sambutan Syawal kekal serupa,” katanya yang akan bercuti selama dua minggu.

Selain itu Zahirah akan muncul menerusi lakonannya dalam Mentari pada 14 Jun (malam raya) di TV3. Telemovie tersebut turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Adi Putra dan Syafiq Kyle.