Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 8pm

Tubuh Badan Khas Kendalikan Kes Jualan Produk Ciplak

..

Selebriti jelita, Neelofa yang juga merupakan pemilik empayar tudung jenama Naelofar mencadangkan kerajaan menubuhkan badan khas mengendalikan aduan kes jualan produk cetak rompak atau ciplak.

Memetik laporan BH online, Lofa berkata, berdasarkan pengalaman sendiri apabila tudung keluarannya diciplak, usaha menangani kes seumpama itu membabitkan kos besar dan bidang kuasa pelbagai agensi kerajaan.

"Syarikat saya pernah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menangani masalah tudung diciplak.

"Namun, usaha itu membabitkan kos tinggi untuk diteruskan. Jadi saya cadang diwujudkan sebuah majlis atau badan yang boleh memudahkan usahawan membuat laporan polis jika mendapati ada barangan tiruan dijual termasuk melalui media sosial.

"Dengan cara itu juga, ia membolehkan pihak berkuasa segera menguatkuasakan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menutup serta-merta akaun laman sosial yang menjual produk tiruan atau palsu," katanya selepas diundang bertemu anggota Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di Menara Ilham di sini, atas kapasiti usahawan.

Selain itu Lofa turut membangkitkan isu terlalu banyak agensi kerajaan yang mempunyai fungsi bertindih, berdasarkan pengamatan dan operasi perniagaan diusahakannya.

"Saya datang untuk menyuarakan masalah berbangkit yang dihadapi kami sebagai usahawan. Ini termasuk mengoptimumkan agensi sedia ada agar dapat terus membantu usahawan mencapai arah tuju sebenar.

"Memang benar, kita ada banyak agensi berkaitan namun sasarannya sama.

"Kebanyakan agensi secara terang-terangan menyasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Mereka hanya fikirkan soal angka hingga isu seperti kualiti produk diketepikan," katanya.

Neelofa mencadangkan penyelarasan dibuat antara semua agensi terbabit agar sistem penyampaian lebih cekap.

"Kita harap ia distruktur semula dengan hala tuju lebih jelas. Kita mahu semua urusan memudahkan peniaga, bukan sebaliknya.

"Agensi berkaitan perlu tahu matlamat dengan lebih tepat. Semuanya perlu diselenggara secara lebih berpusat agar mereka tahu apa yang dilakukan.

"Kita berharap semua ini akan membuka peluang lebih besar kepada usahawan meneroka pasaran yang lebih besar dan global. Sebelum ini, kita seolah-olah tiada bimbingan tepat daripada agensi berkaitan," katanya.

Neelofa juga berharap syarikat baharu diberi insentif atau pelepasan cukai dalam tempoh tertentu.

"Berilah insentif misalnya untuk tempoh lima tahun. Ini dapat membantu memajukan syarikat yang baru hendak stabil selain menjana pendapatan untuk orang lain melalui penawaran kerja," katanya.