Fri07202018

LAST_UPDATEFri, 20 Jul 2018 6pm

Rendang Itik Daun Maman Juadah Wajib di Rumah Waris

..

Raya tak sah kalau tak bercerita tentang juadah raya, kan? Setiap orang pasti ada pilihan juadah kegemaran atau menu wajib di pagi Syawal.

Begitu juga dengan Waris yang memberitahu juadah tradisi yang mesti ada di rumah datuknya setiap kali menyambut Aidilfitri ialah rendang itik daun maman.

"Juadah kegemaran saya rendang itik daun maman, itu memang juadah yang kena ada di rumah keluarga saya setiap kali Aidilfitri. Kalau kuih raya pula saya suka kuih tradisional seperti semperit dan tart nenas," katanya kepada Malaysian Digest.

Tahun kelima menyambut lebaran sebagai artis, penyanyi yang cukup popular dengan loghat Negeri Sembilan ini berkata tahun ini lebih istimewa kerana dia meraikan bersama isteri dan anaknya yang sudah mula pandai berjalan.

"Sebelum ini sambut raya bujang tapi sekarang dah kahwin dan sudah ada anak. Tahun lepas anak saya masih baring saja, tahun dia pula dia baru 'dapat kaki', jadi tak tahu lah raya tahun ni macam mana kan dengan karenah dia," tuturnya.

Waris atau nama sebenarnya Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, 29 berkahwin dengan Izzati pada 2 Ogos 2015 dan dikurniakan anak lelaki Muddassir Muzzammil kini berusia setahun 8 bulan.

Dalam pada itu Waris berkata kemeriahan sambutan raya kebiasaanya sudah dirasai sehari sebelum menjelang Syawal. Menjadi tradisi masyarakat dikampungnya akan mengadakan gotong royong melapah daging. Di sebelah malam pula, dia akan melayan anak-anak buahnya bermain bunga api dan mercun.

"Persiapan raya, biasanya petang bantai tu kami dah mula melapah daging. Kalau di kampung sekeliling rumah datuk saya tu memang saudara mara kami, jadi memang meriah lah.

"Malam raya pula, saya dengan anak-anak buah saya akan main bunga api dan mercun," katanya.

Tahun ini juga tambah istimewa kerana dia baru mendapat abang ipar yang berasal dari Johor. Jadi kesempatan itu, dia dan keluarganya merancang untuk merasai pengalaman beraya di kampung iparnya itu.

"Sebelum ini dalam keluarga kami ada orang Kelantan. Isteri saya pula orang Selangor dan kakak saya baru kahwin dengan orang Johor. Jadi sambutan raya kami tu memang akan lagi meriah lah tahun ini sebab kami ada wakil dari pelbagai negeri.

"Mungkin dalam banyak-banyak juadah Negeri Sembilan ada campur sekali nasi ambeng juadah yang terkenal kalangan orang Johor. Selain itu kami juga merancang nak beraya di Johor, sesekali nak rasa beraya di negeri lain," katanya.