Mon12222014

LAST_UPDATEMon, 22 Dec 2014 1pm

Kerja Baiki Paip Pecah Di Gombak Siap Tengah Malam Ini - Syabas

KUALA LUMPUR: Kerja membaiki paip pecah berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, Gombak semalam dijangka siap tengah malam ini.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Priscilla Alfred berkata syarikat itu telah menggerakkan kira-kira 300 kakitangan untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

"Syabas turut menyediakan 42 lori tangki dan 525 tangki statik sebagai bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna yang terjejas dengan kejadian ini," katanya kepada Bernama Jumaat.

Akibat kejadian itu, Syabas melaporkan hampir 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Gombak terputus bekalan air ekoran paip yang menyalurkan air kepada 89,760 akaun domestik dan pukal di lebih 80 kawasan, pecah.

Priscilla berkata Syabas telah menubuhkan pusat khidmat setempat di Desa Setapak, Taman Dagang, Setiawangsa dan Bandar Baru, Ampang untuk memudahkan penduduk mendapat maklumat dan bantuan lain yang diperlukan.

Beliau berkata Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas menerima lebih 3,200 panggilan melibatkan aduan berhubung ketiadaan air, tekanan air rendah dan permintaan bantuan lori tangki.

Pengguna disaran memberi kerjasama bagi memudahkan pemandu lori tangki membawa kenderaan itu masuk ke kawasan mereka.

 

- Bernama