Thu04172014

LAST_UPDATEWed, 16 Apr 2014 10pm

70 Peratus Pengundi Pos Luar Negara Keluar Mengundi - SPR

KUALA LUMPUR: Kira-kira 70 peratus pengundi pos luar negara keluar mengundi di 100 pejabat perwakilan Malaysia, Ahad lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata pengundi luar negara yang berdaftar berjumlah 8,756 orang, dan daripada jumlah itu, 6,092 hadir pada masa penyerahan dan penerimaan balik sampul undi pada hari berkenaan.

Abdul Aziz berkata pengundi tidak hadir (PTH) ialah seramai 2,633 orang dan mereka bertanggungjawab menghantar sendiri kertas undi secara pos ke pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya masing-masing di Malaysia sebelum 5 petang, 5 Mei ini.

"Saya sangat gembira dengan respon dari rakyat Malaysia di luar negara," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata dengan lebih 2,000 pengundi, Australia mencatat jumlah pengundi Malaysia di luar negara paling ramai mengundi bagi pilihan raya umum ke-13 ini.

Beliau berkata beg diplomatik yang mengandungi kertas undi pos yang diterima pihaknya itu akan dihantar terus ke pejabat SPR negeri sebelum disalurkan ke pejabat RO di seluruh negara.

"Sebanyak 100 pejabat perwakilan Malaysia telah menghantar laporan berhubung proses pilihan raya di sana manakala tiga pejabat perwakilan lagi dilaporkan tiada pengundi yang hadir," jelasnya.

Beliau berkata kertas undi pos dan undi awal itu akan dibuka dan dikira pada hari yang sama dengan kertas undi biasa iaitu pada 5 Mei.

 

 

- Bernama

 

 

Template Design Joomla