Thu10232014

LAST_UPDATEThu, 23 Oct 2014 9am

Polis: Penceroboh Bersenjata M16 Dibelasah Penduduk Hingga Mati

Hamza Taib. Pic: wikisabah.blogspotHamza Taib. Pic: wikisabah.blogspotLAHAD DATU: Polis mengesahkan seorang lelaki bersenjata M16 yang maut dibelasah penduduk Kampung Senallang Lama, Semporna adalah seorang daripada anggota kumpulan penceroboh bersenjata yang menyelinap masuk ke negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata siasatan polis mendapati penceroboh itu berumur sekitar 60-an.

Bernama sebelum ini melaporkan puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki tersebut, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi.

Hamza berkata lelaki itu, yang turut membawa pelancar roket, menyelinap masuk melalui jalan pantai ke Kampung Senallang Lama kira-kira pukul 5 pagi.

Beliau berkata penceroboh itu telah mengarahkan kira-kira 80 penduduk kampung berkenaan untuk keluar berkumpul di satu kawasan lapang berhampiran
sebuah surau dan menjadikan mereka tebusan.

"Ekoran itu, 20 pemuda kampung telah bertindak dengan menyerang dan menangkap lelaki itu sebelum memukulnya hingga mati.

"Pada saya, tindakan itu walaupun dari segi undang-undang nampak salah, tetapi kita perlu ingat mereka dianggap tawanan. Mereka mengambil tindakan balas untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Hamza berkata polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sedang menyediakan perincian akhir sebelum mengambil tindakan drastik
terhadap kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo yang masih enggan menyerah diri.

"Setakat ini tiga anggota kumpulan penceroboh itu ditahan ketika cuba keluar dari kawasan kawalan. Dua daripada mereka ditahan semalam dan seorang lagi ditahan pagi ini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Senallang Lama, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata lelaki bersenjatakan M-16 itu berbadan besar dan berpakaian serba hitam. Dia dikatakan turun dari sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di kampung tersebut.

Lelaki itu katanya turut menjerit: "Saya yang menembak polis malam tadi!".

"Lelaki itu kemudian membuka pintu rumah penduduk dan mengarahkan kami berkumpul di satu kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul bersama penduduk ketika itu.

Abdul Hani berkata penduduk nekad menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung untuk memasang api rokok sambil meletakkan senjatanya.

Beliau berkata lelaki itu kemudian dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan berhampiran sebatang pokok.

Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.

Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.

Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit.

- Bernama