Tue12232014

LAST_UPDATEMon, 22 Dec 2014 10pm

Waris Kanak-Kanak Tiga Tahun Dicari

Husni Mubarak. Pic: Sinar HarianHusni Mubarak. Pic: Sinar HarianKUALA SELANGOR: Keluarga angkat kepada seorang kanak-kanak, Husni Mubarak, 3, memohon ibu kandung atau warisnya tampil ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor bagi membantu proses dokumentasi sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Wakil penjaganya, Raja Jaafar Raja Mahmad, 62, berkata, kanak-kanak itu dijaga ahli keluarganya sejak berusia satu tahun selepas diserahkan seorang wanita warganegara Indonesia pada 2011.

Menurutnya, dia sekeluarga didatangi seorang wanita yang dikenali dengan nama Yanti kira-kira jam 11 pagi di rumahnya di Kampung Assam Jawa, Bukit Rotan yang memohon bantuan untuk menumpangkan anak lelakinya sementara waktu.

“Wanita berkenaan beritahu mahu ziarah kawannya yang sakit di Hospital Serdang dan kami sekeluarga setuju untuk membantunya atas dasar kasihan.

“Namun sehingga kini, wanita terbabit tidak datang mengambil anaknya,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada 28 Februari lalu.

Raja Jaafar berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari wanita terbabit di beberapa kawasan, namun gagal menyebabkan Husni dijaga seperti anak sendiri sehinggalah sekarang.

Menurutnya, walaupun kanak-kanak itu di bawah jagaannya, namun dia bimbang dengan masa depan Husni yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau sijil kelahiran kerana ia akan merumitkan urusan persekolahannya kelak.

“Sebab itu, kami memohon waris atau ahli keluarga kanak-kanak ini tampil di pejabat JKM untuk memudahkan segala urusan pengambilan anak angkat mengikut prosedur.

“Dokumentasi ini juga penting untuk dibawa ke Pejabat Pendaftaran bagi mendapatkan sijil kelahiran sah, sekali gus masa depan kanak-kanak ini terjamin,” katanya kepada Sinar Harian.

- Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/waris-kanak-kanak-3-tahun-dicari-1.137735