Wed09172014

LAST_UPDATEWed, 17 Sep 2014 7am

Kemalangan Ragut Nyawa Tiga Generasi Sekaligus

BATU PAHAT: “Saya sempat melambai tangan ketika mereka berlima keluar rumah menaiki Perodua Myvi untuk pergi ke Kukup, Pontian, namun tidak menyangka tiga generasi keluarga itu maut dalam kejadian berkenaan,” kata Siti Zaida Jamhari, 28, jiran tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kluang-Ayer Hitam berhampiran Kampung Manong, di sini, semalam. 

Siti Zaida berkata, dia diberitahu lima sekeluarga itu bercadang pergi Kukup untuk bercuti namun tidak menyangka itu kali terakhir dia melihat mereka. Dalam kemalangan kira-kira jam 2.55 petang itu, empat maut apabila Perodua Myvi dinaiki lima sekeluarga itu dirempuh sebuah Hyundai Matrix.

Tiga sekeluarga yang maut termasuk wanita mengandung lima bulan, Noraslina Ibrahim, 28, yang duduk di tempat penumpang depan; ibunya Fatimah Yusof, 48, dan dan neneknya Siti Omar, 75, yang duduk di belakang.

Pemandu Hyundai Matrix, Sim Kock Hwa, 35, turut maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Suami Noraslina yang memandu Perodua MyVi, Mohd Sufian Mohd Saleh, 29, dan sepupu lelaki Noraslina dikenali sebagai Boboy, 10, cedera parah.

Siti Zaida berkata, dia mengenali keluarga itu yang tinggal di Taman Seri Impian, Kluang, sejak lima tahun lalu.

"Kira-kira jam 2 petang tadi (semalam) saya baru tiba di rumah dan terserempak dengan mereka sekeluarga yang baru mahu keluar untuk ke Kukup, Pontian.

"Mereka kelihatan gembira namun saya terkejut apabila diberitahu mengenai kemalangan itu yang meragut nyawa tiga daripadanya dan anak dalam kandungan Noraslina," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, semalam.

Menurut Siti Zaida, kejadian itu amat menyedihkan kerana Noraslina dan suaminya Mohd Sufian tidak sempat menyambut kelahiran anak sulung mereka.

"Sudah beberapa kali Ina (Noraslina) keguguran namun kali ini hasrat mereka menyambut anak kali ini tidak juga kesampaian akibat kejadian ini.

"Mereka sekeluarga sangat baik dan ibu Noraslina (Fatimah)  digelar sebagai mak cik kerana menjaga anak saya dan hubungan kami sangat rapat," katanya.

Sementara itu, adik kepada Kock Hwa dikenali sebagai Teo, 30-an berkata, abangnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Pahat.

"Saya sangat terkejut apabila diberitahu dia terbunuh dalam kemalangan itu.

"Semalam kami sempat bertemu namun dia tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya.

Menurut Teo, kejadian itu menyedihkan mereka sekeluarga yang kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata.

- Harian Metro

http://mobile.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ragutnyawa3generasi/mobile/mArticle

Empat Mati, Dua Parah

EMPAT termasuk tiga sekeluarga maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37, Jalan Kluang-Ayer Hitam berhampiran Kampung Manong di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.55 petang itu, sebuah Perodua Myvi dinaiki lima sekeluarga dalam perjalanan dari Kluang ke Kukup, Pontian, bertembung sebuah kereta Hyundai Matrix dari arah Ayer Hitam ke Kluang.Mangsa maut penumpang Perodua Myvi Noraslina Ibrahim, 28, yang duduk di tempat penumpang depan; ibunya Fatimah Yusof, 48, serta neneknya Siti Omar, 75, yang duduk di belakang. Noraslina dikatakan sedang mengandung lima bulan.

Manakala suami Noraslina yang juga pemandu Myvi, Mohd Sufian Mohd Saleh, 29 dan sepupu lelaki Noraslina dikenali sebagai Boboy, 10, cedera parah.

Sementara itu, pemandu Hyundai Matrix, Sim Kock Hwa, 35, turut maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan awal mendapati hujan lebat ketika kejadian menyebabkan permukaan jalan licin sebelum Hyundai Matrix dipandu Kock Hwa menghala ke Kluang terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, Hyundai Matrix itu bertembung Perodua Myvi dari arah bertentangan dinaiki lima sekeluarga.

“Pada masa sama, sebuah Perodua Alza dari belakang Perodua Myvi itu tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kenderaan itu,” katanya.

Din berkata, akibat pertembungan itu pemandu Hyundai Matrix dan tiga penumpang Perodua Myvi maut serta merta manakala pemandu Perodua Alza tidak cedera.

“Pemandu Myvi dan seorang lagi penumpang kereta itu cedera parah dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang.

“Keempat-empat mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum dituntut keluarga untuk disempurnakan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saksi kejadian mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

- Harian Metro

http://mobile.hmetro.com.my/myMetro/articles/Empatmati_2parah/mobile/mArticle