Peragut Patah Kaki Rempuh Kereta

KULIM: Dua peragut bernasib malang apabila bukan saja gagal meragut telefon bimbit milik seorang lelaki, malah seorang daripada mereka patah kaki kanan selepas terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri, kelmarin. 

Kejadian berlaku jam 5 petang di Jalan Kelang Lama, di sini, apabila motosikal yang dinaiki dua suspek berusia 23 dan 30 tahun terbabit memecut sebelum merempuh belakang sebuah kereta ketika dikejar polis serta ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM).

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai identiti suspek dan nombor pendaftaran motosikal mereka selepas cuba meragut telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 40 tahun di pekan Kulim.

Menurutnya, sebaik mengesan suspek, sebuah kereta peronda polis (MPV) dengan bantuan ahli PPKM mengejar motosikal yang dinaiki kedua-dua lelaki terbabit, namun mereka memecut ke Jalan Kelang Lama untuk melarikan diri.

“Namun, tindakan suspek gagal apabila motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar malam Kelang Lama menyebabkan kedua-dua lelaki itu terjatuh daripada motosikal lalu ditahan polis.

“Kedua-dua suspek yang cedera dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan dan seorang daripadanya berusia 23 tahun patah kaki kanan akibat kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek berusia 30 tahun berkenaan berada dalam senarai dikehendaki polis kerana disyaki terbabit kejadian rogol di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 

- Harian Metro

http://mobile.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutpatahkakirempuhkereta/mobile/mArticle