Sun11232014

LAST_UPDATESat, 22 Nov 2014 9pm

Wanita BN: Kerajaan Perlu Urus Pengambilan Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR: Wanita Barisan Nasional (BN) hari ini menggesa kerajaan Malaysia dan Indonesia mengambil alih urusan pengambilan pembantu rumah warga asing di negara ini bagi mengawal kos pengambilan yang semakin melambung. 

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sekiranya pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dilaksanakan, kos pengambilan pembantu rumah warga asing diharap dapat dihadkan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sahaja. 

"Jika kerajaan ambil alih, kosnya dapat dikurangkan sebab kerajaan boleh bawa ramai pembantu rumah sekali gus (termasuk) menerusi penerbangan tambang rendah yang dicarter dengan lebih teratur," katanya kepada pemberita di sini. 

Shahrizat berkata Wanita BN juga tidak bersetuju dengan kos pengambilan pembantu rumah yang dilapor ditetapkan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) iaitu RM6,700. 

Beliau berkata ia terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung ramai keluarga yang memerlukan pembantu rumah, selain menambah tekanan kepada wanita sama ada yang bekerja atau suri rumah yang memerlukan amah bagi membantu menguruskan keluarga. 

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata kerajaan mungkin boleh melantik sebuah agensi khusus untuk menguruskan pengambilan pembantu rumah asing. 

"Kerajaan boleh adakan satu pelan dan bekerjasama dengan agensi tersebut. Kita mahu satu proses yang lebih lancar, bersih dan berpatutan," katanya. 

Jumaat lepas, Papa mengumumkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada RM6,700 selain tambahan RM1,800 yang akan ditolak daripada gaji pembantu rumah berkenaan berkuat kuasa serta-merta. 

Bagaimanapun, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) tidak bersetuju dengan kos yang diumumkan Papa dan sebaliknya menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat pengumuman rasmi mengenai kadar kos itu. 



- Bernama