Thu04172014

LAST_UPDATEThu, 17 Apr 2014 11pm

Restoran Papar Logo Halal Palsu Diserbu

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menyerbu sebuah restoran yang terletak di Kemayan Square, di sini kerana memaparkan logo halal di pintu masuk premisnya, biarpun mereka sebenarnya tidak mempunyai sijil halal sah.

Serbuan kira-kira 10.30 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Cyberjaya dan Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) membabitkan restoran dimiliki pengusaha bukan Islam itu.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JHEAINS, Mohd Fitri Muhamad berkata, restoran terbabit salah satu daripada dua premis yang dikenakan tindakan berdasarkan aduan diterima daripada orang ramai dan hasil risikan.

Beliau berkata, premis terbabit dikesan memaparkan logo halal di luar pintu masuk, sedangkan sijil halalnya sudah tamat tempoh pada April tahun lalu.

“Pihak restoran ada memohon sijil halal semula tetapi ditolak atas sebab tidak memenuhi prosedur ditetapkan.

“Sehubungan itu, kita arahkan pengusaha premis menanggalkan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim bagi menggelakkan orang ramai, terutama yang beragama Islam daripada terus terkeliru,” katanya.

Menurutnya, premis yang dikenalpasti menggunakan halal sewenang-wenangnya, sedangkan sijil sah daripada Jakim boleh dikenakan tindakan dibawah penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011).

Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM250,000 atau tiga tahun penjara bagi pengusaha dan syarikat atau kedua-duanya sekali.

Mohd Fitri berkata, dalam serbuan kedua yang dilakukan di sebuah premis pembungkusan makanan di Taman Seremban Jaya di sini pula, premis berkenaan dikesan menggunakan sijil halal syarikat lain untuk mendapatkan logo halal.

Menurutnya, semua barangan yang dirampas dibawa ke stor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Nilai untuk siasatan.

- Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/papar-logo-halal-palsu-1.119950

Template Design Joomla