Fri09192014

LAST_UPDATEFri, 19 Sep 2014 9am

Azmin: Kenyataan Khairy 'Menghina Mahkamah'

AZMIN: Syarat penyelesaian kes Anwar saman Khairy RM100 juta secara jelas menegaskan kes itu ditamatkan apabila Khairy bersedia menukar pendirian awalnya mengenai fitnahnya terhadap Anwar. Pic: SM AminAZMIN: Syarat penyelesaian kes Anwar saman Khairy RM100 juta secara jelas menegaskan kes itu ditamatkan apabila Khairy bersedia menukar pendirian awalnya mengenai fitnahnya terhadap Anwar. Pic: SM AminPETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneliti semula kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin yang mengatakan beliau tidak menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam sebuah ceramah di Lembah Pantai pada tahun 2008.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata kenyataan Khairy yang cuba memberi gambaran seolah-olah Anwar memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah adalah bohong, dan kenyataan angkuh itu boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Beliau berkata, syarat penyelesaian secara jelas menegaskan bahawa kes saman RM100 juta Anwar terhadap Khairy ini ditamatkan apabila Khairy bersedia menukar pendirian awalnya mengenai fitnahnya terhadap Anwar.

"Kami sedang mendapatkan nasihat daripada peguam. Isu ini turut dibincangkan di dalam mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi.

"Apabila beliau menukar pendirian awalnya, ia bermakna beliau menarik balik fitnah tersebut yang terkandung di dalam ucapannya dan kempen Umno sebelum ini.

"Tindakan Khairy yang memutar-belitkan persetujuan beliau sendiri di hadapan hakim boleh dikira menghina mahkamah," kata Azmin pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Khairy semalam mendakwa tindakan Anwar meminta kes diselesaikan tanpa kos dan dengan permohonan maaf adalah mungkin kerana beliau (Anwar) takut ada implikasi terhadap dirinya.

Bagaimanapun, Khairy berpuas hati dengan tindakan Anwar itu kerana ia memberi masa kepada beliau untuk 'membuat tugas-tugas yang lebih penting daripada membuang masa di mahkamah'.

Pada 7 Mac 2008, Anwar telah memfailkan saman terhadap Khairy berjumlah RM100 juta dengan mendakwa defenden, yang pada ketika itu naib ketua pemuda Umno, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun yang sama.

Dalam perkembangan lain, Azmin turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan untuk menghentikan serta merta campur tangan dan tekanan politik terhadap pengurusan Bank Islam supaya mereka boleh berkhidmat secara profesional dan bebas.

"Tindakan tergesa-gesa oleh pengurusan Bank Islam (dalam menggantung perkhidmatan Ketua Juruekonominya) telah meninggalkan kesan yang buruk kepada profesionalisme sektor korporat dan pengurusan institusi kewangan, terutamanya yang dikawal oleh kerajaan.

"Saya menyarankan supaya pengurusan Bank Islam membatalkan penggantungan perkhidmatan saudara Azrul Azwa Ahmad Tajuddin memandangkan tindakan Bank Islam memberi gambaran institusi ini tidak menghargai profesionalisme dan kebebasan media yang diamalkan oleh ketua juruekonominya sendiri," kata Azmin.

Bank Islam sebelum ini telah bertindak menggantung serta-merta perkhimatan Azrul Azwa dari jawatannya sebagai Ketua Juruekonomi ekoran pandangan yang dibuat mengenai senario keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang pastinya menjadi perhatian pelabur dan pengurus dana antarabangsa.

Azmin turut mengakui Azrul Azwa merupakan ahli PKR, namun gagal mengingati tahun beliau menyertai parti itu.

Ketika diminta mengulas senario politik pembangkang di Sabah, Azmin meminta supaya 'rakan' Pakatan Rakyat di Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) bermuhasabah dalam soal pembahagian kerusi di antara parti gabungan PR menjelang PRU13 akan datang.

Azmin menyifatkan permintaan SAPP yang mahu bertanding lebih 50 peratus daripada keseluruhan kerusi di Sabah adalah tidak munasabah dan mahu ianya dimuktamadkan segera.

"Kita ambil sikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti politik di Sabah.

"Oleh kerana SAPP mahu lebih 40 kawasan daripada 60 kerusi, SAPP perlu muhasabah dan perkara ini harus ditamatkan segera kerana PRU13 sudah tidak lama lagi," kata beliau.

Selain itu, Azmin Ali turut mendedahkan terdapat usaha untuk mengaitkan Anwar dalam 'Projek IC' di Sabah dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang berlangsung ketika ini.

"Saya mendapat maklumat dalaman bahawa matlamat akhir ialah mengaitkan ketua umum, Anwar.

"Pendedahan dan beberapa kejutan oleh saksi-saksi dalam Suruhanjaya baru-baru ini tidak mengejutkan... semua masalah dalam negara memang dibebankan kepada ketua umum dan kita sudah jangkakannya," kata Azmin.

Pada Jun 2012, kerajaan telah bersetuju menubuhkan RCI bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah yang dilihat mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.

- mD

Baca lagi

'127,949 Kad Pengenalan Di Sabah Disyaki Bermasalah'