Wed08272014

LAST_UPDATEWed, 27 Aug 2014 6pm

Isu Patrick Teoh: Mohon Maaf Sahaja Tidak Memadai

ALOR SETAR: Tindakan tegas patut dikenakan terhadap pelakon, Patrick Teoh yang menghina Islam sehingga mengundang kemarahan banyak pihak.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun Patrick memohon maaf setelah menyedari kenyataannya mendapat kecaman banyak pihak, ia tidak boleh diterima begitu sahaja, tanpa ada tindakan susulan yang lebih tegas.

Menurutnya, perkataan dikeluarkan begitu kesat sehingga mengguris perasaan umat Islam dan Patrick wajar dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Kita mungkin boleh terima permohonan maaf itu tetapi apabila sampai melibatkan perkataan terlalu kesat, menyinggung perasaan orang Islam, tindakan tegas perlu diambil,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pemuda Umno Kedah di sini, semalam.

Khairy mengulas kenyataan kesat Patrick yang menghina Islam termasuk memperlekeh amalan solat dan menutup aurat wanita Islam sebagai reaksi terhadap tindakan kerajaan PAS Kedah meletakkan syarat kepada peserta yang terlibat dengan persembahan pentas majlis sambutan 1Malaysia Tahun Baru Cina 2013 di negeri ini.

Khairy berkata, seringkali berlaku apabila seseorang itu menghina agama sesuatu kaum dan kemudiannya memohon maaf, seseorang itu sudah dikira terlepas daripada kesalahannya.

“Permohonan maaf itu seolah-olah membenarkan sesiapa sahaja mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan sensitiviti orang ramai.

“Kes Patrick (Teoh) ini patut dijadikan contoh serta teladan supaya tidak ada sesiapa yang terfikir untuk menghina agama, mohon maaf kemudian terlepas,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno bergiat aktif dalam laman sosial supaya dapat memberi tindak balas cepat apabila berlaku perang siber.


Nurul Fatihah Sulaini / Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/nasional/isu-patrick-teoh-mohon-maaf-sahaja-tidak-memadai-1.122934