Sat10252014

LAST_UPDATEFri, 24 Oct 2014 8pm

Amanat Haji Hadi: Terpaksa Mengucap Semula

MARANG: Che Ramli Daud, 55, yang awalnya dianggap bukan penyokong Pas terpaksa mengucap dua kalimah syahadah sekali lagi sebagai tanda kembali ke dalam Islam bagi membolehkan imam dan penduduk kampung menghadiri majlis tahlil arwah ibunya.

''Biarpun terfikir bahawa saya bukan kafir, saya melakukan juga di hadapan imam di rumah arwah emak di Kampung Beris Tengah Kubur Besar, Bachok, Kelantan sebelum majlis tahlil kerana sekitar kampung kebanyakannya orang Pas.

''Saya pula ketika itu dilihat sebagai penyokong UMNO kerana menjalankan usaha membuat perabot dengan bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), jabatan yang dikaitkan dengan kerajaan Barisan Nasional dan orang UMNO," ujarnya.

Menyingkap masa lalunya, dia yang menetap di Bukit Perepat dekat sini sejak hampir dua dekad lalu menceritakan ketika Amanat Haji Hadi memuncak sehingga menjadi pegangan hampir keseluruhan penduduk, UMNO seolah-olah tidak lagi wujud.

"Saya mula semakin dekat dengan para penyokong Pas dan mereka memberikan kefahaman tentang perjuangan untuk menegakkan Islam, sehinggakan saya meninggalkan kerja membuat perabot dan peralatan mesin sumbangan Kemas.

"Saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan kerajaan dan parti kafir, malah mula turut serta dengan ceramah-ceramah parti itu (Pas)," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia bagi menceritakan bagaimana pengaruh itu akhirnya menjadi pegangan yang begitu kuat.

Kata Che Ramli, seperti pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail (C.N. al-Afghani) dalam buku Kafirkah Aku? yang membidas Amanat Haji Hadi, dia percaya masih ramai kalangan penyokong Pas termasuk golongan muda yang yaking UMNO dan penyokongnya adalah kafir yang perlu dimusuhi.

Menurut Che Ramli, dia menrupakan penyokong tegar dalam kkawasan Dewan Undangan negeri Pengkalan Berangan dan turut berperanan menubuhkan ranting Pas di Batu Kerikil Wakaf Tapai.

"Semasa musim kempen pilihan raya, saya merupakan jentera hadapan yang membekalkan keperluan termasuk makanan kepada markas-markas, selain berkempen meramaikan ahli," ujarnya.

Beliau menarik perhatian adalah sukar bagi penyokong Pas untuk meninggalkan parti itu dan menerima kebaikan atau kelebihan Umno selagi mereka tidak menempuh pengalaman sendiri berkaitan tindak-tanduk pemimpin selepas berkuasa.

Che Ramli bersyukur kerana situasi Pas ketika itulah yang menyebabkan Umno di Terengganu menerima sokongan lalu memenangi Pilihan Raya Umum 1999 sekaligus mendedahkan kepadanya tentang isu agama sering diperalatkan oleh Pas untuk menarik sokongan.

Katanya, kebanyakan pemimpin Pas dilihat sebagai ulama dan tutur kata mereka kita anggap sebagai salinan al-Quran dan hadis.

"Tetapi soal halal haram selama ini sudah diketepikan apabila Tuan Guru Abdul Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri 'naik' ke Masjid Kampung Jerong yang pengikut Pas tinggalkan selama ini.

"Bila ditanya, katanya tiada lagi halal haram, kita tutup buku kerana kita sudah memerintah. Tidakkah yang haram tetap haram?" ujar Che Ramli.

- Utusan Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130122/po_01/Che-Ramli-terpaksa-mengucap-semula