Sun08312014

LAST_UPDATESat, 30 Aug 2014 9pm

'Hanya Cari Rezeki Sementara'

Lokasi tapak penjaja sementara dijalankan beberapa peniaga di Taman Batu Muda / Pic: Sinar HarianLokasi tapak penjaja sementara dijalankan beberapa peniaga di Taman Batu Muda / Pic: Sinar HarianKUALA LUMPUR: Sementara menunggu permohonan lesen diluluskan, penjaja yang beroperasi di hadapan sebuah kolej swasta di Jalan 31/10a, Taman Batu Muda, di sini memohon budi bicara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan aktiviti perniagaan dijalankan di kawasan terbabit.

Penjaja, Salmah Ahmad berkata, dia telah beroperasi di situ sejak setahun lalu dan mengakui hanya memohon lesen sejak Mac lalu, setelah beberapa kali menerima notis saman disebabkan berniaga tanpa lesen.

Menurutnya, dia hanya menjalankan perniagaan makanan menggunakan lori bergerak dan turut meletakkan beberapa meja dan kerusi di kawasan lapang, namun tidak menghalang lalu lintas.

“Saya mohon DBKL memberikan kelonggaran dan mengeluarkan surat kebenaran sementara kerana kami berniaga hanya dalam tempoh masa yang singkat tanpa meninggalkan sebarang peralatan perniagaan di tapak ini.

“Disebabkan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, saya menerima tiga notis saman, termasuk kerusi dan meja disita, membuatkan saya terpaksa mengeluarkan belanja kira-kira RM300 untuk membeli yang baru,” katanya ditemui di sini, baru-baru ini.

Difahamkan, penjaja di kawasan terbabit mula menjalankan operasi kira-kira jam 10 pagi hingga 3 petang tanpa sebarang binaan kekal.

Sementara itu, peniaga nasi campur, Hanafi Mohd Pilus permohonan lesen perniagaan yang masih tergantung tanpa sebarang perkembangan membuatkannya tertanya-tanya status kebenaran DBKL terhadap aktiviti perniagaan di tapak berkenaan.

"Setiap kali bertanyakan berhubung status permohonan lesen yang dibuat, dia hanya dimaklumkan ia masih dalam proses.

“Sekiranya tidak dibenarkan langsung, sampai bila pun kami tidak akan dapat lesen dan akan terus menerima saman," katanya.

Justeru, Hanafi berharap DBKL dapat memberi perhatian, tambahan pula mereka bukannya beroperasi berterusan sebaliknya hanya sementara untuk kemudahan pelajar kolej berhampiran.

“Sepanjang Ramadan kami tidak beroperasi, justeru dalam tempoh masa sehingga selepas raya, diharapkan proses kelulusan permohonan lesen dapat dipercepatkan untuk membolehkan kami beroperasi dengan tenang,” katanya.

Bagi peniaga, Mohd Rafizi Kadiran, dia  baru sahaja beroperasi di situ sejak dua minggu lalu, namun payung dan meja yang digunakannya disita DBKL.

“Waktu siang memang saya ada masa terluang dan saya gunakan kesempatan ini berniaga untuk menambah pendapatan, sementara pada sebelah malam, saya beroperasi di bazar larut malam,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penjaja-penjaja berkenaan berikutan terdapatnya aduan.

Tinjauan di lokasi perniagaan mendapati, terdapat sekurang-kuranganya tiga struktur gerai dibina secara kekal sederetan tapak penjaja beroperasi, yang juga terletak di atas kawasan lapang bersebelahan sungai, dipercayai, mempunyai lesen daripada DBKL.





- Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/hanya-cari-rezeki-sementara-1.180048