Fri11212014

LAST_UPDATEFri, 21 Nov 2014 10am

Bayi Cedera Digigit Kera

Sharimah bersama bayinya yang cedera akibat digigit kera / Pic: Sinar HarianSharimah bersama bayinya yang cedera akibat digigit kera / Pic: Sinar HarianBALING: “Nasib baik saya cepat, kalau tidak, tak tahu apa terjadi kepada anak saya,” kata Sharimah Shaari, 41, ibu kepada bayi yang nyaris dilarikan kera dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Kejadian berlaku di kediamannya di Kampung Seberang Pekan dan mangsa, Aishah Sofia Hashim yang baru berusia dua bulan turut cedera di kepala akibat digigit haiwan itu.

Sharimah berkata, ketika kejadian, dia berada di ruang dapur sebelum dikejutkan dengan jeritan seorang anaknya yang ternampak haiwan itu di dalam rumah.

“Anak-anak lain semuanya meluru ke arah saya, kata mereka, ada kera besar, jadi saya pun pergi la tengok. Tambahan pula, anak bongsu saya itu sedang tidur dalam buaian.

“Tak sampai beberapa minit, saya tengok kera itu dah ada di buaian anak saya, kalau saya lewat, tak tahu apa terjadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa turut cedera di bahagian dahi setelah digigit kera berkenaan.

“Dahi dia (mangsa) dah berlumuran darah, saya panik, tak tahu nak buat apa, suami keluar menoreh, hanya tinggal saya dan anak sahaja.

“Kemudian saya minta bantuan keluarga terdekat untuk hantar anak ke Hospital Baling, kemudian dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim pula,” katanya.

Katanya, bayinya itu turut menerima beberapa jahitan akibat gigitan haiwan itu dan perlu menjalani rawatan susulan bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Kera itu datang dari kawasan gunung berdekatan kampung ini. Sebelum ini, belum pernah ada kera ceroboh masuk rumah, kalau ada pun, sekadar rosakkan tanaman penduduk, belum lagi pernah ancam keselamatan.

"Saya terkejut dengan kejadian itu, kalau tiada siapa di rumah, tak tahu nasib bayi saya,” katanya.





- Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/bayi-cedera-digigit-kera-1.181154