Wed07232014

LAST_UPDATEWed, 23 Jul 2014 5pm

Edika Yusof Berimej Botak Selagi Isteri Tak Sembuh

Imej Edika Yusof dahulu (kiri) dan sekarang (kanan).Imej Edika Yusof dahulu (kiri) dan sekarang (kanan).

Barangkali anda kurang mengenali siapa  Edika Yusof. Pelakon era-90 an mula dikenali menerusi filem antaranya Maria Mariana, XX-Ray dan Awas selain pernah aktif dalam dunia peragaan suatu ketika dahulu.

Lama tidak mendengar khabar berita namun baru-baru ini Edika yang sudah berimej botak berkongsi kehidupannya selepas sudah 15 tahun menyepi daripada dunia seni.

Bercakap kepada mStar online, beliau mempunyai sebab untuk berimej botak gara-gara isterinya Norhidayah Yusri mengalami lumpuh separuh badan akibat menghidap demam panas.

Edika telah bernazar selagi isterinya itu tidak pulih daripada penyakit tersebut, dia tidak akan sesekali menyimpan rambut walaupun ia telah berlanjutan sejak tujuh tahun lalu.

“Isteri saya mengalami lumpuh dari bahagian badan sehingga ke bawah selepas melahirkan anak kedua kami. Akibat penyakit itu, dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan sayalah yang menjaganya selama ini,” katanya yang banyak melakukan kerja-kerja grafik dan percetakan selepas tidak lagi aktif berlakon.

Pelakon berusia 45 tahun itu memberitahu dia kini bahagia. Tambahan sejak berkahwin 10 tahun lalu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fardeen Nurulhaq, 9, dan Fareena Nurulhaq, 8, serta seorang anak angkat Nazirul Afiq yang berusia 14 tahun.

Malah dia juga berhasrat untuk kembali aktif dalam dunia seni sekiranya terdapat mana-mana tawaran yang bersesuaian dengannya.

- mD