Mon11242014

LAST_UPDATEMon, 24 Nov 2014 6am

Guna Helah Pasang Jerangkap Ayam Intai Isteri Jiran

Seorang penduduk menunjukkan lokasi Mazlan menemui racik ayam yang dipasang untuk tujuan mengintai. Pic: Harian MetroSeorang penduduk menunjukkan lokasi Mazlan menemui racik ayam yang dipasang untuk tujuan mengintai. Pic: Harian MetroALOR GAJAH: Seorang lelaki dipercayai menggunakan helah memasang perangkap ayam hutan di sekitar rumah jirannya bagi membolehkan dia mengendap isteri jirannya dalam kejadian di Durian Tunggal, di sini, pagi semalam.

Lelaki berusia 46 tahun itu dikatakan memasang perangkap ayam hutan kira-kira jam 1 pagi sebelum datang semula jam 7.30 pagi bagi mengambil perangkap berkenaan sambil menghendap isteri jirannya yang bersiap ke tempat kerja. 

Perbuatan lelaki terbabit terbongkar selepas kegiatannya disedari suami wanita itu yang baru pulang dari kerja kira-kira jam 7.30 pagi menyebabkan berlaku pergaduhan. 

Suami wanita berkenaan, Mazlan Abdul Rahim, 28, mendakwa dia yang baru pulang dari bekerja di sebuah kilang terserempak dengan lelaki itu berlegar di kawasan rumahnya.

Malah katanya, dia dihubungi isteri memberitahu terdengar bunyi tapak kaki orang berjalan di tepi rumah beberapa jam sebelum itu.

"Saya tanya dia kenapa berada di dalam kawasan rumah dan lelaki itu mendakwa ingin mengambil perangkap ayam dipasang di sebelah rumah saya.

"Lelaki itu terus mengambil perangkap berkenaan dan saya sekali lagi cuba dapatkan penjelasannya menyebabkan berlaku pergaduhan," katanya di sini, semalam.

Mazlan mendakwa lelaki terbabit melibas perangkap itu hingga mengenai bahu, lengan dan kepalanya.

Katanya, beberapa ahli keluarga yang menyedari kejadian segera meleraikan mereka dan dia kemudian ke Balai Polis Durian Tunggal membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, polis memberkas lelaki terbabit bersama perangkap jenis racik dipercayai digunakan sebagai senjata dalam pergaduhan itu.

Suspek ditahan jam 12 tengah hari di rumahnya untuk membantu siasatan.




- Arifin Salleh / Harian Metro
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013021303135420130213031354/Article/index_html