Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Tema Hari Kebangsaan Berbeza Bukti PR Tidak Sepakat

Print E-mail
Pak Selamat   
Thursday, 09 August 2012 10:14

Jalur_GemilangKetika Pakatan Rakyat (PR) menjerit-jerit fobia dengan tema 55 Tahun Janji DiTepati yang diumumkan kerajaan pusat kerana tepat terkena ke batang hidung mereka, kerajaan PR Kedah telah pun melancarkan temanya sendiri iaitu 55 Tahun Terus Berbakti seawal 17 Julai lagi.

Namun, tindakan kerajaan Kedah itu seolah-olah tidak diiktiraf oleh kepimpinan PR Pusat kerana mereka langsung tidak memperdulikannya. Malah, kepimpinan PR Pusat telah melancarkan tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa sebagai tema rasmi Hari Kebangsaan di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Ini bermakna, Kedah telah tercicir dan akan bersendirian menggunakan tema berbeza dari PR dan juga pusat.

Nampaknya, untuk bersatu hati dalam mencari tema Hari Kebangsaan juga amat payah sekali bagi Pakatan Rakyat. Jika begitu sukar sekali untuk mereka menyeragamkan hanya 4 buah negeri, bagaimana PR boleh bermimpi mampu menyamaratakan segala-galanya bagi seluruh Malaysia jika mereka berjaya memerintah?

Inilah akibatnya jika ketiga-tiga parti merasakan parti masing-masing sebagai kepala dan tulang belakang PR dan tiada siapa hormatkan sesiapa di antara sesama mereka sebagai pemimpin tertinggi.

Namun, kita faham jika kepimpinan PR memekakkan telinga sahaja dengan tema yang dilancarkan oleh negeri Kedah iaitu kerana pemilihan perkataan berbakti. Sedangkan, perkataan-perkataan yang membawa makna berkhidmat kepada rakyat amatlah menakutkan PR.

Dari satu segi, perkataan berbakti tidak banyak beza dengan janji ditepati mengikut makna umum dan di dalam konteks Malaysia. Apatah lagi jika perkataan tersebut digandingkan dengan angka 55 tahun.

Ini kerana bukan PR tidak tahu bahawa yang berbakti kepada rakyat Kedah dan keseluruhannya selama 55 tahun adalah BN atau Parti Perikatan dan bukan PAS, DAP, PKR jauh sekali Pakatan Rakyat.

PAS atau PR baru sahaja memerintah Kedah selama tidak sampai sepenggal dan selama itu juga langsung tiada bakti yang dicurahkan. Sebaliknya, hanya menambahkan masalah kepada rakyat selain dari menambah pusat-pusat hiburan dan karaoke.

Oleh itu, tema 55 tahun terus berbakti seolah-olah mengingatkan rakyat kepada jasa-jasa Barisan Nasional dan UMNO kepada mereka, lebih-lebih lagi dalam memperjuangkan kemerdekaan. Pelik juga kita kenapa PAS Kedah telah memilih tema yang juga terkena batang hidung mereka sendiri?

Selama ini juga kita melihat pemimpin-pemimpin PR ke hulu ke hilir ke serata dunia tidak puas-puas memburuk-burukkan Malaysia. Mereka menggambarkan Malaysia sebagai neraka dunia seolah-olah segala-gala tentang Malaysia adalah buruk lagi busuk.

Sesungguhnya, PR tidak pernah cintakan negara ini dan tidak pernah mensyukuri nikmat keamanan, kemakmuran, kesejahteraan mahupun keindahan negara ini. Justeru, PR mungkin boleh mencipta slogan dan tema tetapi ia tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.