|
|
|
Friday, 10 August 2012 17:25 |
Chinese Independent High School entrance. Pix: www.loyarburok.comLaporan Sin Chew Daily mengenai kenyataan Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah yang menyarankan agar pengambilan kakitangan awam bukan Melayu dilonggarkan, menyebabkan ramai yang tersenyum sinis.
Apatah lagi bila mendengar alasan beliau iaitu: Saya amat risau jika keadaan ini tidak dapat diubah, kerana akan berlaku jurang yang amat ketara dan akan semakin memburuk sehingga lama-kelamaan akan berlaku kesan sampingan lain.
Apakah layak Yin Huah bercakap mengenai jurang antara kaum apabila beliau adalah antara juara yang berdegil ingin memastikan jurang tersebut terus wujud dan semakin besar bermula dari bangku sekolah lagi? Beliau dan juga Dong Zong sama-sama tegar memperjuangkan agar jurang ini diteruskan sehingga sekolah menengah malah hingga peringkat universiti dengan menuntut agar sijil dari universiti-universiti tertentu yang bertunjangkan bahasa Cina diiktiraf.
Justeru, apakah Yin Huah tidak tahu bahawa jurang antara kaum tidak akan wujud jika semua anak-anak Malaysia bersekolah bersama-sama? Atau lebih tepat, jurang antara kaum mungkin telah lama terhapus jika Hua Zong, Dong Zong dan NGO-NGO yang seangkatan dengan mereka tidak wujud sama sekali di Malaysia.
Cadangan Yin Huah agar kemasukan ke sektor awam dilonggarkan menyerlahkan sikapnya yang dwistandard. Kelayakan untuk masuk ke sektor awam mewajibkan seseorang itu fasih berbahasa Melayu dengan keputusan kredit di dalam peperiksaan. Ini adalah sesuatu yang semulajadi memandangkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.
Pastinya, Yin Huah sedar bahawa penyebab kurangnya kaumnya diterima masuk ke sektor awam adalah kerana kredit Bahasa Melayu ini dan kerana itulah beliau menyarankan agar syarat ini dilonggarkan.
Kita telah sedia maklum bahawa selama ini, kaum Cina juga yang begitu beria-ia memperjuangkan sistem merit, maka kenapa pula mereka merungut apabila sistem merit itu tidak menepati citarasaí mereka?
Adalah tidak wajar jika kita meminta agar kelonggaran diberikan iaitu menurunkan taraf kelayakan Bahasa Melayu hanya untuk memastikan lebih ramai kaum lain dapat bekerja di sektor awam kerana ia juga bermakna menurunkan standard atau kualiti kakitangan awam.
Sepatutnya Yin Huah menyeru agar kaum Cina memperkasakan dan mencintai bahasa kebangsaan sebagai seorang warganegara yang setia bagi mengatasi masalah berurusan dengan sektor awam. Malah, lebih baik lagi jika Yin Huah menyeru agar kaum Cina menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan bagi memantapkan bukan sahaja bahasa kebangsaan, tetapi juga perpaduan serta semangat patriotisme terhadap negara ini.
Pak Selamat
|